Monday, 9 August 2021

#Butterworth 11 termasuk tiga wanita Vietnam ditahan sambut hari lahir



Polis menahan 11 individu termasuk tiga wanita warga Vietnam yang sedang leka menyambut hari lahir, dalam satu parti liar diadakan mereka di sebuah kondominium di Jalan Lestari, di sini malam tadi.

Dalam serbuan pukul 11 malam itu, polis menahan lapan lelaki tempatan dan tiga wanita itu selepas menerima aduan daripada orang awam, memaklumkan terdapat bunyi bising di unit kondominium tingkat 19 berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Rahimi Ra’ais berkata, semua mereka ditahan itu berusia 19 hingga 35 tahun dan siasatan mendapati rumah tersebut disewa dua lelaki bersama tiga wanita tersebut, yang merupakan kekasih mereka.

“Serbuan dibuat susulan laporan yang pihak polis terima berhubung bunyi bising daripada rumah itu dan semasa pemeriksaan dijalankan, difahamkan mereka baru selesai acara memotong kek serta sedang leka berparti dengan bunyi alunan muzik kuat.

“Parti sambutan hari lahir itu dianjurkan oleh seorang daripada lelaki yang menyewa di situ, untuk menyambut hari jadi teman wanitanya berusia 22 tahun dan dia kemudiannya memanggil enam lagi rakannya (lelaki), bagi meraikan bersama-sama mereka,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya siasatan awal mendapati dua lelaki yang menyewa rumah itu mengenali wanita-wanita warga asing tersebut ketika mengunjungi pusat hiburan sebelum ini, dan tinggal sebumbung sebaik dijadikan kekasih.

Rahimi berkata siasatan juga mendapati, rumah itu di sewa dengan kadar bayaran sewa RM1,450 sebulan dan mereka yang ditahan, bekerja sebagai sebagai peniaga haiwan, pekerja kilang serta pekerja kedai barangan sejuk beku.

Katanya, tiada sebarang dadah ditemui di rumah tersebut ketika serbuan namun ujian saringan air kencing yang dilakukan mendapati, empat lelaki positif dadah jenis methamphetamine manakala seorang wanita positif ketamin.

“Dalam serbuan itu, polis merampas speaker, belon dan perhiasan sambutan hari lahir tersebut,” katanya.

Katanya semua mereka direman bagi membantu siasatan dan kes itu disiasat menurut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang sengaja melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan, bagi mengekang penularan wabak Covid-19 dan beliau turut memohon kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan jenayah agar tindakan segera dapat diambil. -Bernama

No comments:

Post a Comment