Thursday 23 June 2022

#Jelutong Penduduk persoal status Babylon City By The Sea

 


Kira-kira 10,000 penduduk di sekitar tapak pelupusan sampah Jelutong di sini menuntut jawapan daripada kerajaan negeri berhubung status projek Babylon City By The Sea yang dianggarkan bernilai berbilion ringgit.

Penduduk mendakwa, projek pembangunan di kawasan seluas 3.24 hektar itu tertangguh sejak 2016.

Setiausaha Persatuan Penduduk Mutiara Idaman 2, Mazlan Pakwanteh berkata, penduduk setempat juga tertunggu-tunggu perkembangan terkini projek tersebut yang merupakan kerjasama antara kerajaan negeri menerusi Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan sebuah syarikat pemaju swasta.

"Apa yang kami dengar projek ini sepatutnya bermula pada 2016, namun sehingga kini nampaknya tiada sebarang kerja pembangunan dijalankan di tapak berkenaan.

"Jadi kami mahu tahu status terkini projek ini," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat MCA Pulau Pinang di sini pada Selasa.

Sementara itu, Naib Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA Pulau Pinang, Francis Goh berkata, beliau difahamkan tender terbuka secara request-for-proposal (RFP) untuk projek tersebut telah dilaksanakan pada 2015, namun ia diserahkan semula pada 2016.

"Sehingga kini nampaknya tiada perkembangan mengenai projek ini.

"Adakah ia satu lagi projek gajah putih oleh kerajaan negeri?" katanya.

Bagaimanapun, Francis Goh berkata, berdasarkan pemantauan, pihaknya mendapati projek yang merangkumi komponen kediaman dan komersial serta taman awam itu tidak sesuai dibina di tapak pelupusan sampah.

Beliau turut melihat masalah pencemaran alam sekitar dan teknikal yang serius akan timbul sekiranya projek itu diteruskan.

"Tapak pelupusan sampah ini telah digunakan selama lebih 40 tahun, bertan-tan sampah telah ditimbus. Sebarang pembangunan yang akan dilakukan, bermakna perlu mengorek timbunan sampah tersebut. Bayangkan jenis gas yang akan dikeluarkan jika projek ini dilaksanakan.

"Memang ada di antara penduduk terpaksa menahan bau busuk yang dipercayai berpunca daripada loji rawatan kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd berhampiran.

"Jika projek ini pula dimulakan, bayangkan bagaimana penduduk kena hadapi, kehidupan rakyat akan terjejas teruk," katanya.

Beliau berkata, terdapat hampir 10,000 penduduk di kawasan berhampiran tapak berkenaan dengan lebih 3,000 daripadanya berada dalam radius kurang daripada 200 meter dari tapak terlibat.

Pada Februari 2020, Pulau Pinang dilaporkan sedang memulakan misi untuk memulihkan dan membangunkan semula tapak pelupusan sampah Jelutong yang telah digunakan selama lebih 40 tahun.

Dengan RM1 bilion, pemulihan dan pembangunan semula tapak pelupusan seluas 34 hektar akan dilaksanakan oleh PLB Engineering Bhd (PLBEB).

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, selepas siap, syarikat itu akan menyerahkan 25 peratus tanah kepada Kerajaan Pulau Pinang untuk memutuskan penggunaan tanah tersebut.

Kon Yeow berkata, syarikat itu akan mengambil masa 15 tahun untuk menyiapkan pembangunannya di atas tanah pajakan selama 99 tahun, dengan butiran akan diumumkan oleh syarikat itu.

Kerajaan negeri telah meminta cadangan untuk memulihkan dan membangunkan semula tapak pelupusan itu pada 12 Mac 2015, manakala PLBEB dilantik pada 2017.


SUMBER

No comments:

Post a Comment