Monday 27 June 2022

#PRU15 Pelawa Tajuddin wakili PAS tidak pernah dibincangkan - Idris Ahmad

 


Tindakan Pas Perak mempelawa Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) mewakili Pas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak pernah dibincangkan.

Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, perkara itu di luar pengetahuan beliau dan memaklumkan pembahagian kerusi mahupun calon perlu mendapat persetujuan Pas Pusat.

“Perbincangan mengenai perkara itu antara Pas Perak dengan Pas Pusat belum dibuat, tak ada... kita tak bincang lagi,” katanya ringkas selepas hadir program Multaqa Murabbi Ummah dirasmikan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di Seri Mentaloon pada Ahad.

Pada Sabtu, Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria dilaporkan berkata, pihaknya mempelawa Tajuddin yang digugurkan daripada ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO untuk bertanding atas tiket PN mewakili parti itu sekiranya bekas Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) itu tidak diberikan tempat oleh Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Pasir Salak pada PRU15.

Razman berkata, pelawaan tersebut dibuat bukan bermaksud mahu mencampuri urusan parti-parti lain, sebaliknya mengambil kira situasi semasa yang mahu agar PRU15 diadakan segera.

Media pada Khamis melaporkan Tajuddin digugurkan daripada ahli MKT UMNO berkuat kuasa 21 Jun lalu atas alasan sikap beliau yang mengkritik parti.

AWANI

No comments:

Post a Comment