Monday 9 November 2020

Bekalan keperluan asas mencukupi sepanjang PKPB dan Deepavali di Pulau Pinang


GEORGE TOWN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang memberi jaminan bahawa bekalan keperluan asas di negeri ini mencukupi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan menjelang perayaan Deepavali.

 

Pengarahnya Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata tinjauan yang dijalankan pihaknya Sabtu lepas mendapati tiada kenaikan harga barang yang berlaku di pasar raya dan kedai runcit.

 

Katanya, antara barang keperluan asas yang dipantau adalah gula, minyak masak, tepung, beras, roti putih, susu tepung, ayam, sayur-sayuran, telur, bawang, pelitup muka dan cecair pembasmi kuman.

 

“Secara keseluruhannya tiada pembelian panik yang berlaku. Bagaimanapun, ada peningkatan pembelian mungkin disebabkan persediaan masyarakat India yang akan menyambut Deevapali Sabtu ini.

 

“Pada amnya, trend pembelian adalah normal di premis-premis yang diperiksa oleh pegawai KPDNHEP Pulau Pinang, manakala bekalan barangan di peringkat pengilang dan pemborong mencukupi, stabil dan berupaya menampung permintaan semasa,” katanya dalam kenyataan  hari ini.

 

Mohd Ridzuan juga memberi amaran agar peniaga tidak menaikkan harga barangan kerana tindakan boleh dikenakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 atau menyembunyikan barang kawalan kerana mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

 

 

--  BERNAMA

No comments:

Post a Comment