Hilangnya mercu sejarah
Georgetown: Sebahagian struktur bangunan warisan di Jalan Sultan Ahmad Shah di sini, dirobohkan dipercayai bagi memberi laluan kepada pembinaan hotel bertaraf lima bintang dan bangunan komersial di situ.
Tinjauan mendapati beberapa bahagian di tapak bangunan kolonial berusia 208 tahun itu dirobohkan dan tiada papan tanda pemberitahuan projek.
Jurucakap Persatuan Warisan Pulau Pinang (PHT) berkata, pihaknya menerima maklumat kerja perobohan bangunan warisan itu dijalankan pada Isnin lalu iaitu ketika sambutan Tahun Baru Cina.
“Kami mahu penjelasan daripada kerajaan negeri, mengapa kerja perobohon dijalankan pada hari cuti umum, seolah-olah mereka mahu menutup sesuatu,” katanya.
Bangunan warisan yang dikenali sebagai Hotel Runnymede itu terletak di atas tanah seluas 0.8 hektar berhampiran pesisiran pantai, sekali gus menjadikan ia antara hartanah yang paling bernilai di Pulau Pinang.
Hotel Runnymede pernah didiami Sir Stamford Raffles pada 1805 ketika Raffles bertugas sebagai Penolong Setiausaha kepada Gabenor Pulau Pinang, Robert Townsend Farquhar.
Selepas itu, Hotel Runnymede mengalami banyak perubahan termasuk pernah dijadikan sebagai hospital tentera British ketika zaman Perang Dunia Kedua.
Sementara itu, EXCO Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu lintas, dan Tebatan Banjir negeri Chow Kon Yeow berkata, pihaknya sudah mengeluarkan Pelan Kebenaran Merancang (PKM) kepada pemaju terbabit.
“Bagaimanapun, PKM itu tidak membabitkan Hotel Runnymede. Kerja perobohan hanya dijalankan di beberapa struktur kawasan sekitar tapak hotel berkenaan sahaja.
“Selain itu, kita akan menyiasat bagaimana kerja perobohon itu boleh dijalankan pada hari cuti umum,” katanya.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/113948?m=1#sthash.MOmIracc.dpuf
No comments:
Post a Comment