BUTTERWORTH: Kastam merampas dadah jenis methamphetamine seberat 7,078 gram (g) bernilai RM1.06 juta yang cuba diseludup dalam alat papan litar elektronik untuk dihantar ke negara Ocenia dan menahan dua ahli perniagaan dalam siri serbuan di Pulau Pinang dan Selangor sejak 2 hingga 6 Nov lepas.
Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pemantuhan) Datuk Johari Alifiah berkata bertindak hasil maklumat dan risikan, pihaknya telah membuat pemeriksaan di sebuah syarikat kurier di Taman Perusahaan Nyaman Mutiara, Bayan Lepas dekat sini pada 12.45 tengah hari 2 Nov dan merampas lapan bungkusan yang diikrarkan sebagai alat papan litar elektronik.
"Lapan bungkusan yang melibatkan tiga alamat pengirim di Kuala Lumpur itu untuk kiriman ke sebuah negara di Oceania dan pemeriksaan kami telah menjumpai 18 bungkusan timah di dalam alat papan litar elektronik tersebut yang mengandungi kira-kira 6,075 g dadah bernilai RM911,250," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya susulan serbuan itu, pihaknya sekali lagi menyerbu syarikat kurier terbabit pada 11 pagi, 4 Nov lepas dan menahan seorang lelaki berumur 29 tahun bersama sebuah bungkusan juga diisytiharkan sebagai alat papan litar elektronik untuk dikirim ke negara Oceania.
Beliau berkata hasil pemeriksaan di dalam alat papan litar elektronik itu, pasukan kastam menemukan dadah jenis methamphetamine seberat 1,003 g yang bernilai kira-kira RM150,450.
Johari berkata ekoran penahanan lelaki itu, pihak kastam telah menahan seorang lagi lelaki berumur 39 tahun di Selayang, Selangor pada 6 Nov lepas dan dipercayai dua suspek tersebut adalah ahli sindiket pengedaran dadah di negara ini yang dipercayai mempunyai rangkaian antarabangsa.
"Berdasarkan siasatan mendapati sindiket itu telah menjalankan kegiatan pengedaran dadah ke luar negara dengan menyembunyikannya di dalam alat papan litar elektronik bagi mengelak dikesan pihak berkuasa sejak sebulan lepas, mereka juga dipercayai telah menghantar bungkusan mengandungi dadah ke luar negara sebelum ini.
"Semua dadah yang dirampas dalam siri serbuan itu ialah sebanyak 7,078 g bernilai RM1.06 juta dan kami juga sedang mengesan beberapa lagi ahli sindiket pengedaran dadah tersebut," katanya.
Katanya, dua lelaki yang merupakan ahli perniagaan itu kini direman sehingga 11 Nov ini bagi membantu siasatan dan kes tersebut disiasat menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu mengedar dadah yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment