Monday 9 November 2020

Pulau Pinang pohon PKPD di Penjara Reman tidak disambung


GEORGE TOWN: Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) mencadangkan agar Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Reman dan Kuarters Penjara Reman Negeri Pulau Pinang yang bakal tamat Rabu ini tidak disambung dan tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

 

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata bagi PKPD di penjara Seberang Perai dan Kuarters Perumahan Penjara Seberang Perai yang  dijangka tamat 18 Nov ini pula, pihaknya berharap PKPD di kawasan berkenaan dilanjutkan.

 

"Majlis Keselamatan Negara Negeri Pulau Pinang (MKNPP) akan membawa cadangan berkaitan ke peringkat Pusat bagi pertimbangan lanjut. Bagi membendung perebakan kes Kluster Intan yang majoritinya di Mukim 13, JKNPP diminta supaya meneruskan pemantauan dan mempertimbangkan sama ada PKPD perlu dilaksanakan memfokuskan lokaliti-lokaliti khas berkaitan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Dalam pada itu Chow berkata  dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri Pulau Pinang (JKKNPP) hari ini turut meminta MKNPP mengemukakan rayuan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) pusat berhubung pengoperasian pusat-pusat jagaan kanak-kanak swasta demi keperluan ibu bapa yang perlu bekerja pada tempoh PKPB.

 

"Bagi aktiviti keagamaan untuk agama Islam dan bukan Islam, garis panduannya akan diperhalusi dan ditentukan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang serta kerajaan negeri termasuk perincian SOP bagi sambutan Deepavali di negeri ini," katanya.

 

Beliau berkata sebanyak 31 lokasi Sekatan Jalan Raya (SJR) dijalankan sepanjang tempoh PKPB di negeri ini membabitkan 1,294 anggota dari pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Pulau Pinang, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

 

"Bagi garis panduan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) akan membuat pengumuman dari semasa ke semasa termasuk pembukaan taman dan lokasi rekreasi di bawah seliaan masing-masing," katanya.

 

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment