SEORANG ibu mengandung (baju kelabu) bersama suaminya (kanan) antara 36 individu yang ditahan dalam Operasi Perdana AADK di Kampung Padang Besar, Kurung Anai, Arau, Perlis malam tadi.
KANGAR: Seorang wanita
hamil bersama suaminya yang mengambil dadah ditahan dalam satu operasi Agensi
Antidadah Kebangsaan (AADK) di Kampung Padang Besar, Kurung Anai, Arau di sini,
malam tadi.
Wanita yang berusia 35
tahun bersama suaminya berusia 24 tahun itu ditahan di rumah keluarga lelaki
tersebut sebaik sahaja mereka tiba di situ dalam keadaan mencurigakan kira-kira
pukul 10 malam.
Pasangan yang mendirikan
rumah tangga pada Julai lalu dengan usia kandungan kira-kira sebulan itu turut
mengaku baru sahaja mengambil barangan terlarang tersebut sebelum tangkapan
dibuat.
Seramai 34 individu
berusia antara 17 tahun hingga 51 tahun iaitu masing-masing 30 lelaki dan empat
wanita ditahan dalam operasi yang dijalankan di sekitar Perlis itu.
Pengarah AADK negeri,
Khairul Anwar Ahmad berkata, hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan
terhadap pasangan suami isteri itu mendapati mereka positif dadah jenis
methamphetamine.
Katanya, siasatan mendapati lelaki tersebut menagih dadah sejak tiga tahun lalu manakala isterinya pula lima tahun lalu.
Menurutnya, semakan
mendapati wanita itu pernah menjalani pengawasan di AADK pada tahun 2015 sehingga
2017.
“Sementara itu, seorang
remaja lelaki berusia 18 tahun ditahan di Kampung Tanah Baru, Kuala Perlis
sekitar pukul 3.30 petang kerana memiliki 2.4 gram dadah disyaki heroin.
“Remaja tersebut
diserahkan kepada polis untuk diambil tindakan di bawah Seksyen 12(2) Akta
Dadah Berbahaya 1952,” katanya di sini hari ini.
Individu yang ditahan
diibawa ke pejabat AADK negeri dan diambil tindakan dibawah Akta Penagih Dadah
(Rawatan & Pemulihan) 1983 pindaan 1998.
Operasi Perdana AADK
tersebut dilaksanakan di Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) di negeri ini iaitu di
Sena, Sanglang, Kuala Perlis, dan beberapa kawasan luar KBT seperti Beseri,
Padang Besar, Santan, Chuping dan Mata Ayer.
– UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment