SHAH ALAM: Universiti
Teknologi MARA (UiTM) menangguhkan penganugerahan diploma dan ijazah secara
janji temu yang dijadual bermula 7 November ke tarikh baharu iaitu pada 1
Disember depan.
Menurut UiTM dalam satu
kenyataan hari ini, penetapan tarikh baharu itu bagaimanapun tertakluk kepada
situasi semasa Covid-19 serta arahan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Keputusan berkenaan
dibuat demi mengutamakan keselamatan, kesihatan, kebajikan dan kesejahteraan
semua warga UiTM serta jemputan susulan penularan pandemik itu pada ketika ini.
“Janji temu yang dibuat
oleh para graduan sebelum ini adalah terbatal serta tidak terpakai. Graduan
diminta mengisi dan mendaftar semula melalui Sistem Janji Temu untuk
mendapatkan tarikh baharu.
“Pendaftaran untuk tarikh
baharu itu akan dibuka bermula Isnin depan sehingga 8 November. Para graduan
boleh melayari laman sesawang https://konvokesyen.uitm.edu.my/v1/ untuk
mendapatkan pautan tersebut,” menurut kenyataan itu.
Selain melalui laman
sesawang berkenaan, graduan juga boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai
sesi penganugerahan diploma dan ijazah secara janji temu dengan menghubungi
pegawai di Bahagian Rekod Pelajar dan Konvokesyen di talian 03-55443110 atau
03-55443114.
Pada 29 September lepas,
UiTM memperkenalkan penganugerahan diploma dan ijazah secara janji temu dalam
suasana kebiasaan baharu berikutan peningkatan kes pandemik Covid-19 yang tidak
menentu.
- BERNAMA
No comments:
Post a Comment