Tangkap layar kenyataan dimuat naik Annuar Musa di Facebooknya hari ini.
SHAH ALAM: Dakwaan
kononnya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membuat pusingan U
selepas mesyuarat selama empat jam bersama pemimpin-pemimpin UMNO adalah tidak
benar.
Perkara itu dinafikan
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa mengulas laporan
sebuah portal mendakwa Ahmad Zahid menerima tekanan untuk mengisytiharkan
gencatan politik dan sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Laporan (portal) itu
jelas tidak benar malah tidak wujud pun mesyuarat selama itu. Pertimbangan
Presiden UMNO mengambil kira pandangan pelbagai pihak adalah keputusan beliau
sendiri.
“Presiden dan UMNO
memahami keutamaan adalah rakyat, apalagi bila membabitkan nyawa dan
kesihatan,” katanya menerusi satu kenyataan di laman Facebooknya sebentar tadi.
Annuar yang juga Menteri
Wilayah Persekutuan berkata, keputusan Presiden UMNO itu adalah tepat kerana
mendahului rakyat dan negara berbanding politik.
"Situasi kita ini
luar biasa. Tiada rujukan kecuali melihat kepada pelbagai pendekatan dan
menggubal preskripsi kita sendiri. Kerajaan perlukan kestabilan. Kerajaan juga
perlukan masa.
"Bajet perlu ada
untuk membiayai pelbagai tindakan termasuk operasi melindungi nyawa rakyat. Ia
tidak boleh tidak," katanya.
Terdahulu portal itu
mendakwa kononnya berlangsung satu mesyuarat selama empat jam membabitkan Ahmad
Zahid serta Pengerusi UMNO negeri yang marah dengan tindakan untuk menyokong
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana
Menteri.
Mengulas lanjut, Annuar
berkata, gerakan untuk menukar Perdana Menteri pada masa ini tidak akan
membantu negara mengurangkan penularan pandemik koronavirus (Covid-19).
--sinarharian
No comments:
Post a Comment