LUMUT: Mengaut keuntungan hampir RM2,000 sehari hasil menjadi ejen perjudian loteri awam, dua premis runcit dan kedai tambah nilai telekomunikasi di Sitiawan, dipotong bekalan elektrik dalam operasi bersepadu di Sitiawan petang semalam.
Ketua Polis Daerah
Manjung ACP Nor Omar Sappi berkata, kedua-dua premis berkenaan berselindung di
sebalik perniagaan masing-masing untuk menjalankan aktiviti haram dan telah
didakwa beberapa kali di mahkamah serta diambil tindakan sebelum ini.
Katanya, bagaimanapun
kedua-dua premis tersebut tidak serik dan susulan itu, pihaknya mengambil
tindakan lebih tegas dengan membuat pemotongan elektrik di dua premis itu
bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB), mengikut Seksyen 21A Akta Rumah Judi
Terbuka (ARJT) 1953, kira-kira pukul 3.30 petang semalam.
“Sebuah premis
telekomunikasi sudah diserbu sebanyak 10 kali dan sebuah lagi premis yang
menjalankan perniagaan runcit pula, sudah lima kali dikenakan tindakan atas
kesalahan sama mengikut Seksyen 9(1) ARJT 1953.
“Polis mengesan kedua-dua
premis berkenaan masih menjalankan kegiatan sama dan mereka seolah-olah tidak
takut walaupun sudah diserbu dan dikenakan tindakan sebelum ini,” katanya
ketika dihubungi di sini hari ini.
Nor Omar berkata, dua
premis berkenaan akan mengambil komisyen jualan sebanyak 18 peratus daripada
jualan harian loteri awam haram berkenaan.
Dalam pada itu, Nor Omar
berkata pada tahun ini, sebanyak 10 premis sudah dikenakan tindakan pemotongan
bekalan elektrik di sekitar daerah Manjung.
Katanya polis tidak akan
berkompromi terhadap mana-mana individu dan premis menjalankan aktiviti
perjudian dan pemotongan bekalan elektrik di premis perjudian, akan
dilaksanakan secara komprehensif dan berterusan dalam membanteras kegiatan itu.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment