KUALA LUMPUR: Kejohanan
Badminton Remaja Dunia 2020 yang sepatutnya berlangsung dari 18 hingga 24 Jan,
2021 di Auckland, New Zealand telah dibatalkan berikutan penularan wabak
COVID-19, selain sekatan masuk dikenakan negara itu.
Keputusan itu
dipersetujui bersama oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Badminton New
Zealand dan juga penganjur, Auckland Tourism, Events and Economic Development
(ATEED).
Setiausaha Agung BWF
Thomas Lund dalam kenyataan hari ini berkata penangguhan itu tidak dapat
dielakkan kerana situasi COVID-19 ketika ini dan memaklumkan bahawa New Zealand
akan menjadi tuan rumah kejohanan berkenaan pada edisi 2024.
"Tuan rumah untuk edisi
berikutnya telah bersedia pada tahun 2021 (di China), dan ketidakpastian
situasi COVID-19 yang dijangka akan berlanjutan hingga tahun depan, penangguhan
bukanlah satu pilihan," kata
beliau.
Pada awalnya, kejohanan
tahunan itu sepatutnya diadakan pada bulan September 2020 tetapi BWF telah
memutuskan untuk menangguhkan kejohanan berkenaan kepada Januari 2021 dengan
mengambil kira situasi global wabak COVID-19.
Pada 2018, Majlis BWF
telah memutuskan untuk memberikan hak penganjuran kejohanan berkenaan kepada
China pada tahun 2021, Sepanyol (2022) dan Amerika Syarikat pada tahun 2023.
"Kami menghargai
bahawa beberapa pemain remaja akan berusia 19 tahun pada tahun 2021 dan
sayangnya mereka tidak dapat merasai pengalaman bermain dalam Kejohanan
Badminton Remaja Dunia BWF. Kita hanya boleh menggalakkan mereka untuk
mengembangkan bakat sebagai atlet badminton dan mula menyertai kejohanan
terbuka antarabangsa," tambah Lund.
Selepas Kejohanan
Badminton Remaja Dunia, New Zealand dijadual akan menjadi tuan rumah Kejohanan
Badminton Senior Dunia 2025.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment