BUTTERWORTH: Tidak cukup
dengan air rebusan daun ketum, dicampur pula dengan air gas dan ubat batuk untuk
rasa khayal yang lebih kuat.
Namun, kegiatan tidak
sihat tujuh lelaki berusia 20 hingga 29 tahun menyediakan bahan terlarang itu
di dalam sebuah rumah flat di Bagan Agam di sini memakan diri selepas mereka
dicekup polis.
SEBANYAK 60 plastik air
ketum yang dipercayai dicampur dengan ubat batuk dan air bergas dirampas dalam
serbuan polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) di sebuah rumah flat di Bagan
Ajam, Butterworth, Pulau Pinang malam tadi.-GAMBAR IHSAN POLIS
Dalam serbuan sekumpulan
anggota polis daerah Seberang Perai Utara (SPU) kira-kira pukul 12.30 malam
tadi, turut dirampas adalah sebanyak 60 bungkus air ketum yang sudah siap
diproses serta wang tunai berjumlah RM2,104.
Ketua Polis Daerah
Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, siasatan
polis mendapati salah seorang suspek yang tinggal di rumah itu mengaku memiliki
air ketum tersebut.
“Cecair itu akan dijual
pada harga RM7 sebungkus kepada pembeli di sekitar kawasan Pantai Bersih selain
rumah berkenaan dijadikan tempat melepak sambil minum ketum.
“Siasatan turut
mendapati, enam lagi suspek merupakan pembantunya untuk membungkus bekalan air
ketum yang telah dibancuh bersama ubat batuk,” katanya ketika dihubungi di sini
semalam.
Beliau berkata, kesemua
suspek yang merupakan penganggur itu didapati negatif hasil ujian saringan air
kencing dan ditahan bagi siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Sementara itu, Noorzainy
berkata, kesemua suspek turut dikenakan kompaun selepas didapati tidak
mengamalkan penjarakan fizikal ketika berkumpul.
-UTUSAN
No comments:
Post a Comment