KUALA LUMPUR: Seorang daripada dua
lelaki tempatan yang diberkas ketika leka dengan kegiatan mencuri motosikal di
kawasan parkir Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di Kuala Lumpur semalam
telah ditahan di wad selepas didapati mempunyai kontak rapat dengan seorang individu
di bawah pengawasan (PUS) yang memakai gelang pink dan menjalani kuarantin di
blok Program Perumahan Rakyat Kerinchi.
Ketua Polis Daerah
Brickfields ACP Zairulnizam Mohd Zainuddin@Hilmi berkata suspek yang berusia 19
tahun turut menjalani pemeriksaan suhu badan yang didapati mencecah 38.5 darjah
Celsius.
“Suspek turut menjalani
ujian saringan Covid-19 dan sedang menunggu keputusan lanjut. Sementara seorang
lagi suspek (yang berusia 26 tahun) dibawa ke unit kecemasan dan sedang dirawat
susulan berlaku pergelutan bersama mangsa,” menurutnya dalam kenyataan malam
tadi.
Dia berkata kedua-dua
suspek ditahan selepas kegiatan mereka disedari seorang pemilik kenderaan yang
menuju ke kawasan parkir berkenaan.
“Polis menerima laporan
berhubung kejadian pada kira-kira 4.24 petang oleh mangsa yang juga bekerja
sebagai polis bantuan di situ.
“Mangsa yang selesai
menjalankan tugas telah menuju ke motor jenis Yamaha 125z miliknya sebelum
melihat kelibat dua suspek berkenaan,” katanya.
Zairulnizam berkata
susulan itu, mangsa telah meminta bantuan rakan setugasnya sekali gus membawa
kepada penahanan kedua-dua suspek.
“Mangsa dalam masa sama
telah menjalankan pemeriksaan dan menemukan beberapa peralatan yang digunakan
untuk mencuri motosikal,” katanya.
Zairulnizam berkata
semakan lanjut polis turut mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau
bersabit kes dadah.
“Suspek belum dapat
disoal siasat namun polis telah membuka kertas siasatan berhubung kejadian
berkenaan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.
--BERNAMA
No comments:
Post a Comment