KUANTAN: Ibarat bulan
jatuh ke riba. Itu yang terdetik di hati penulis, sejurus melihat sebuah
replika bulan menyinari Pantai Batu Hitam ketika berkunjung ke ‘Malam Carbooth’
di sini baru-baru ini.
Bulan gergasi berdiameter
enam meter itu, merupakan tarikan baharu di pantai berkenaan yang terletak
kira-kira 11 kilometer dari pusat pentadbiran Pahang.
Teknik lampu yang
membiaskan cahaya replika itu, menampakkan ia seolah-olah kelihatan 'hidup'
sekali gus menarik perhatian orang ramai terutamanya 'kaki Instagram', yang
tidak mahu melepaskan peluang mengabadikan panorama indah berlatar belakang
bulan penuh, di media sosial masing-masing.
Diusahakan oleh
sekumpulan anak muda berusia 25 tahun lepasan Universiti Malaysia Pahang,
replika berkenaan ditempah khas dari negara China yang menelan belanja ribuan
ringgit, yang mana ia perlu dipam dengan angin bagi membentuk bulatan besar.
Berkongsi cetusan idea
kreatif itu Muhamad Nazirul Aman Rusli Aman berkata, dia bersama dua rakannya,
Muhammad Asyraf Mat Nain dan Joe Fadzly Johari, melihat cahaya bulan sangat
signifikan dengan pemandangan pantai dan berikutan itu mereka berusaha mencari
bulan 'tiruan' tersebut di merata-rata tempat, sebelum memilikinya sekitar Ogos
lepas melalui pesanan secara dalam talian.
Bekas pelajar jurusan
kejuruteraan mekatronik itu berkata, ia adalah salah satu inisiatif mereka
untuk menarik orang ramai ke pantai berkenaan, yang menempatkan lebih 50
peniaga but kereta di Pantai Batu Hitam, yang menjual pelbagai barangan dan
makanan bagi menjana pendapatan pada musim Perintah Kawalan Pergerakan
Pemulihan (PKPP).
“Kami membuat pinjaman
Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun Nasional) untuk mengusahakan tapak
jualan ini, selain membeli replika dan beberapa barangan lain seperti lampu
bagi menghiasi kawasan sekitar ini.
“Sambutan Alhamdulillah
sangat memberangsangkan. Semua yang datang mesti tidak lepaskan peluang untuk
bergambar bersama replika tersebut. Lega apabila penat lelah kami dilihat
berhasil...bila ada tarikan macam ini, baru orang datang dan sekali gus membeli
barang atau makanan daripada peniaga,” katanya kepada Bernama.
Menceritakan cabaran bagi
memasang replika diperbuat daripada material PVC berkenaan, Muhammad Asyraf
berkata faktor angin sedikit sebanyak menyukarkan mereka untuk menempatkan
replika bulan berkenaan.
“Tidak susah untuk
memasang dan menanggalkan replika berkenaan kerana ia hanya mengambil masa
kira-kira 30 minit sahaja dengan bantuan beberapa orang lain, kadang-kadang
cuma bila angin kuat agak menyukarkan sedikit.
“Kami akan mula pasang
pada hari tapak ‘Malam Carbooth’ ini beroperasi, dan akan mengempiskan replika
berkenaan lepas pukul 10 malam, sebaik tempat ini ditutup,” katanya sambil
menambah waktu perniagaan bermula pukul 4 petang sehingga 10 malam, selama tiga
hari setiap Jumaat hingga Ahad.
Menurutnya, pada masa
akan datang mereka turut bercadang menyediakan program Food Bank di lokasi
berkenaan, sebagai usaha membantu golongan yang kurang berkemampuan.
“Dengan cara ini
peniaga-peniaga di sini atau individu luar boleh meletakkan makanan, bagi
membantu individu lain yang kurang bernasib baik,” katanya yang turut berterima
kasih kepada Majlis Perbandaran Kuantan yang memberi peluang dan kepercayaan
kepada anak muda seperti mereka, mengusahakan tapak berkenaan.
Sementara itu, pengunjung
Mohd Hanis Mohamad, 30, dari Segamat, Johor, mengibaratkan replika bulan itu
sebagai perhiasan pantai yang menarik di waktu malam, dan menimbulkan suasana
romantis.
“Ia suatu yang menarik
dan lain daripada lain, cahaya bulan itu sendiri menimbulkan suasana yang
menyeronokkan, malah anak-anak saya turut terpegun sejurus melihat replika
itu,” katanya.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment