Monday 19 October 2020

Suri rumah rugi RM10,000 diperdaya kenalan Facebook


KUANTAN: Seorang suri rumah berputih mata apabila kerugian RM10,000 selepas mendakwa dirinya diperdayakan rakan kenalan Facebook yang kononnya mewarisi harta pusaka keluarga bernilai RM1.5 juta.

 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata wanita berusia 58 tahun itu mendakwa berkenalan dengan suspek lelaki yang kononnya menetap di United Kingdom pada 19 Dis tahun lalu.

 

"Suspek memberitahu bapanya berasal dari Miri, Sarawak dan meninggalkan harta pusaka yang banyak dan dia akan ke Malaysia bagi menuntut harta itu. Pada awal Februari lalu, mangsa mendakwa menerima pesanan WhatsApp suspek memaklumkan telah tiba ke negara ini.

 

"Mangsa mendakwa suspek memaklumkan dia perlu menjelaskan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak enam peratus bagi menuntut harta pusaka itu dan memerlukan bantuan mangsa kerana tidak mempunyai wang tunai segera," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

 

Mohd Wazir berkata mangsa mendakwa telah membuat transaksi berjumlah RM8,000 pada awal Mac lalu manakala bayaran RM2,000 dibuat pada 8 Okt lalu ke dalam akuan yang diberikan suspek.

 

Bagaimanapun, mangsa mula berasa curiga apabila suspek tidak menunaikan janji untuk memulangkan semula wang tersebut, selain beberapa cubaannya untuk menghubungi suspek tidak berjaya.

 

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

 

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment