Ketidakadilan, rasa ditindas dan berdepan sikap rasis menyebabkan seorang penyewa tampil mendedahkan perbuatan pihak perbadanan pengurusan sebuah kediaman mewah di sini.
Ng Wuoi Uoi berkata, isu didepani beliau sememangnya agak peribadi, bersifat pembulian, bahkan ‘kes komedi’ dan kebudak-budakan pihak perbadanan terbabit, namun perbuatan mereka melampau dan tidak patut.
Jelasnya, beliau mengemukakan isu ini kepada media supaya peraturan seumpama yang cuba dibuat pihak perbadanan tersebut tidak akan diimplementasikan di mana-mana kediaman dalam negara ini.
Peraturan baharu menghadkan maksimum sembilan penghuni dalam rumah dan tiga kenderaan itu dikongsikannya dengan Ketua Penerangan PAS Negeri Pulau Pinang, Ir Ahmad Rafaei Dato’ Ir A Rashid di Bayan Baru, minggu lalu.
Latar belakang isu
Cerita Ng, beliau telah menjadi penyewa tetap di sini sejak 6 tahun lalu tanpa pernah ada rekod tunggakan bayaran, namun isu timbul secara tiba-tiba setelah perubahan Pengerusi Perbadanan yang baharu.
Beritahunya, episod itu bermula apabila Pengerusi tersebut mempertikaikan beliau yang membela anjing dengan mendakwa terdapat bunyi bising hingga mendesak Ng menyimpan haiwan itu di dalam rumah.
Setelah itu, individu sama juga maklumnya, menyerlahkan tidak puas hati terhadap Ng kerana memiliki enam kereta di rumahnya, sedangkan hanya diberikan empat kad akses untuk masuk ke sini.
Berikutan itu, kenderaannya disekat masuk dan Ng terpaksa meletakkan kereta-keretanya di luar kawasan kediaman tersebut iaitu di kawasan menunggu di pondok pengawal keselamatan.
Pun begitu, Pengerusi tersebut masih tidak berpuas hati terhadap Ng hingga perkara tersebut diisukan pula kepada pihak polis dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) hingga keretanya diambil.
Turut didedah, rancangan pihak terbabit membuat laporan sebanyak-banyaknya menerusi sistem e-aduan MBPP terhadap beliau, namun semua pihak menegaskan tiada isu pelanggaran undang-undang.
Mengelak perundingan
Usaha Ng sebagaimana juga disarankan, malah turut diatur melibatkan beberapa pihak antaranya Jabatan Pesuruhjaya Bangunan (COB) MBPP bagi berunding dengan Pengerusi Perbadanan tersebut seringkali tidak berjaya.
Pengerusi itu yang juga seorang ketua bahagian di sebuah syarikat antarabangsa di negeri ini seolah-olah mengelak berunding dengan pelbagai alasan termasuk membatalkan sesi rundingan pada saat-saat akhir.
Lebih buruk dari itu, Ng telah diperburuk-burukkan dalam perbincangan kumpulan WhatsApp penghuni kawasan kediaman mewah tersebut, tetapi tidak kurang penghuni lain yang mempersoalkan sikap Pengerusi Perbadanan itu.
Pengerusi Perbadanan dan Jawatankuasa Pengurusan itu malah cuba melobi peraturan baharu menerusi Mesyuarat Agung Tahunan yang dilihat kehadiran perwakilan diatur memihak kepadanya.
Terutama bagi Ng, peraturan menghadkan jumlah hanya sembilan penghuni bagi rumah kediaman itu, sedangkan 13 orang berada dalam rumahnya dengan semua mereka adalah ahli keluarga terdekat.
Injunksi mahkamah
Ketidakwajaran dihadapi Ng semakin keterlaluan apabila semua sekali kad akses beliau disekat dan kenderaan beliau terhalang untuk masuk sekalipun untuk menghantar seketika (drop off) ahli keluarganya berhampiran rumah.
Dengan keadaan ibu bapanya yang tua serta bayinya pula baru berusia 3 bulan di mana terpaksa berjalan kaki dari pondok pengawal ke rumah, keadaan itu bagi Ng telah menjadi satu situasi tidak berperikemanusiaan.
Hak asasi beliau yang telah dilanggar membuatkan Ng merasa ia perlu berjuang memuktamadkan segala sikap telah dialaminya ke pengadilan undang-undang dari terus diperlakukan secara berat sebelah itu.
Terdahulu, pihak Pengerusi Perbadanan dan Jawatankuasa Pengurusan itu yang mengheret dan mengadukan hal Ng kepada pihak berkuasa MBPP, polis, ADUN hingga kerajaan negeri termasuk individu berpengaruh dalam persatuan.
Pun begitu semua gagal dijadikan kes kerana tidak mempunyai sandaran peraturan yang kukuh melainkan bagi Ng sengaja diada-adakan serta pertikaian remeh-temeh untuk menyusahkan beliau.
Tetapi menjadi satu kemenangan awal buat Ng apabila beliau berjaya mendapatkan injunksi daripada Mahkamah Tinggi Malaya George Town menghalang peraturan dibuat Perbadanan dari dikuatkuasakan.
Malah sebelum itu juga pertemuan bersama COB MBPP juga lebih awal berbangkit banyak persoalan terhadap tindakan-tindakan dibuat oleh Perbadanan, sekali gus kebenaran banyak berpihak kepada Ng.
Perjuangan untuk semua
Kata Ng, tindakannya yang ke depan dalam semua ini kerana wujud elemen ketidakadilan, penindasan dan rasis berbanding realiti masyarakat majmuk dan kehidupan warganegara Malaysia.
Sebagaimana juga diakui oleh peguam mewakilinya, peraturan cuba dikuatkuasakan Perbadanan Pengurusan tersebut boleh menjadi langkah rujukan atau ‘precedent case’ di negara ini.
Menurutnya, akan ada lagi kawasan-kawasan kediaman cuba menguatkuasakan Undang-undang Kecil seumpama, sedangkan secara realiti rumah kediaman adalah untuk hidup berkeluarga.
Hal tersebut juga katanya, akan memberi kesan kepada majoriti orang Melayu terutamanya yang secara umum di negara ini mempunyai ahli keluarga ramai, setelah pula Pengerusi tersebut juga bersikap perkauman.
Malah menurutnya, individu berpengaruh dari sebuah persatuan pembinaan perumahan yang turut terlibat dalam isu ini juga memungkinkan perkara tersebut boleh memungkinkan peraturan itu dibawa untuk diadakan di negara ini. – HARAKAHDAILY
No comments:
Post a Comment