Bekas menteri Salleh Said
Keruak memberitahu rakyat sudah letih dengan kerenah ahli politik yang asyik
berpolitik tetapi mengabaikan nasib rakyat.
“Ada masanya (kita)
berpolitik, dan ada masanya kita berkhidmat (untuk rakyat). Rakyat sudah mula
sedar yang ahli politik Malaysia ini sering berpolitik 24 jam seminggu dan 365
hari setahun,” sindirnya dalam catatan blognya.
“Dan rakyat juga sudah
letih dengan ahli politik yang asyik fokus tentang politik dan tidak berkhidmat
untuk rakyat,” katanya.
Salleh yang juga
merupakan bekas ketua menteri Sabah berkata, persepsi yang dicerminkan oleh
seseorang itu adalah penting tetapi apa yang ditunjukkan oleh ahli politik hari
ini adalah sesuatu yang negatif.
“Seorang ahli politik
yang bertanggungjawab merupakan mereka yang sentiasa memantau dan mendengar
suara rakyat.
“Ahli politik dan aktivis
sering kali melaungkan slogan ‘rakyat adalah bos.’ Tetapi, tidak lama selepas
mereka mendapat kuasa, mereka lupa siapa yang bos,” katanya.
Katanya, berikutan negara
sedang dilanda pandemik Covid-19, norma baru bukan sahaja meliputi menjaga
penjarakan sosial dan kuarantin kendiri, tetapi senario politik negara juga
memainkan peranan.
Menyentuh mengenai
situasi semasa politik negara yang tidak stabil, Salleh berkata rakyat kini
melihat ahli politik sebagai mementingkan diri sendiri dan meluat dengan
keadaan huru-hara yang tidak berkesudahan.
“Parti-parti (politik)
dan ahli politik perlu mencari kata sepakat dengan bekerjasama,” katanya.
Katanya, dalam keadaan
yang genting ini, kuasa perlu dikongsi bersama di mana yang kalah dan menang
perlu duduk berbincang mengenai apa yang terbaik untuk negara.
--malaysiakini
No comments:
Post a Comment