Monday, 26 October 2020

Singapura bakal import tenaga elektrik dari Malaysia


Singapura akan mengimport bekalan elektrik dari Semenanjung Malaysia di bawah ujian selama dua tahun, menurut Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) pada Isnin (26 Okt).

Matlamat ujian itu adalah untuk menilai dan memperhalusi rangka kerja teknikal dan kawal selia bagi mengimport bekalan elektrik ke Singapura, menurut penguasa itu dalam kenyataan medianya.

Langkah itu akan membantu memudahkan import berskala lebih besar dari rantau ini pada masa akan datang, tambah EMA.

"Bagi memenuhi komitmen kita terhadap perubahan iklim, Singapura perlu mengubah cara ia menjana dan menggunakan tenaga," menurut EMA.

"Memanfaatkan grid bekalan tenaga serantau bagi sumber-sumber tenaga lebih bersih adalah salah satu strategi untuk mempelbagaikan bekalan tenaga Singapura," tambah kenyataan EMA itu.

Semasa menyampaikan ucapannya sempena perasmian Minggu Tenaga Antarabangsa Singapura, Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing berkata langkah itu adalah sebahagian daripada rancangan Singapura untuk memperkukuhkan "seni bina grid serantau".

EMA merancang untuk mengeluarkan Permintaan bagi Saranan menjelang Mac tahun depan untuk 100 MegaWatt tenaga elektrik. Jumlah itu akan membentuk sekitar 1.5 peratus daripada kemuncak permintaan bagi bekalan elektrik di Singapura.

Di bawah Permintaan bagi Saranan tersebut, tenaga elektrik mungkin mula diimport seawal hujung 2021 menerusi penghubung elektrik sedia ada antara Singapura dengan Malaysia.

Pengimport akan dipilih melalui proses pemilihan yang terbuka dan berdaya saing, menurut EMA. 

- CNA/NA/na

 Sila baca https://berita.mediacorp.sg/mobilem/singapura/s-pura-akan-import-bekalan-elektrik-dari-m-sia-di-bawah-ujian-2/4527658.html

No comments:

Post a Comment