Monday 26 October 2020

Pembantu kedai makan maut terkena renjatan elektrik di Kuala Kangsar

 

IPOH: Seorang pekerja maut dipercayai akibat terkena renjatan elektrik ketika hujan lebat semasa bekerja di sebuah kedai makan di Persiaran Lembah, Kuala Kangsar petang semalam.

 

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar ACP Omar Bakhtiar Yaacob berkata dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, mangsa Mohamad Fauzi Musa, 30, sedang melayan pelanggan bersama tiga pekerja lain sebelum terjatuh di bawah khemah dengan tangan kanan masih memegang tiang besi khemah berkenaan.

 

"Si mati disyaki terkena renjatan elektrik dan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Kuala Kangsar dengan pihak ambulans," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Beliau berkata siasatan awal di tempat kejadian mendapati khemah berkenaan bersambung terus dengan kedai makan manakala pemeriksaan mendapati tubuh mangsa dan pakaiannya dalam keadaan basah selain muka dan tangannya berwarna gelap.

 

Bagaimanapun beliau berkata tiada unsur jenayah fizikal dikesan dan hasil bedah siasat ke atas mayat mangsa mendapati punca kematian adalah serangan jantung disebabkan renjatan elektrik.

 

Katanya menurut keluarga si mati, mangsa yang masih bujang dan bekerja secara sambilan di kedai makan berkenaan tiada masalah sakit kritikal serta rekod rawatan kritikal di hospital.

 

"Ujian swab turut diambil dan keputusannya didapati negatif COVID-19," katanya.


-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment