Monday, 26 October 2020

UMNO bukan punca kemelut politik - Md Jais Sarday


Saya menjunjung kasih atas keprihatinan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu menzahirkan pendirian tentang betapa pentingnya untuk menghormati mekanisme semak dan imbang pelbagai cabang kerajaan.

Ini demi menjamin keadilan dan membatasi sebarang unsur penyalahgunaan kuasa, serta menegaskan pentingya prinsip raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen diterjemahkan dalam pentadbiran.

Ini menunjukkan kebijaksanaan raja-raja Melayu membantu menguruskan masalah politik yang berlaku sejak pilihan raya umum ke-14 yang lalu.

Raja-raja Melayu masih berpegang kepada prinsip raja perperlembagaan dan demokrasi berparlimen yang diamalkan di Malaysia.

Melalui kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, Seri Paduka menitahkan supaya ahli-ahli politik menghentikan politicking (permainan politik) yang boleh mengganggu kestabilan negara.

Baginda malah menyatakan kerajaan sedia ada berjaya mengatasi Covid-19 yang berlarutan sejak Februari, walaupun tidak bersetuju dengan cadangan kabinet yang memohon untuk melaksanakan Darurat Perkara 150(1) dan Pemasyhuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu 2020) menurut Perkara 150(2B) Perlembagaan Persekutuan untuk memerangi ancaman Covid-19.

Saya percaya, Seri Paduka dan raja-raja Melayu melihat melalui politik pandang penuh teliti dan menyimpulkan kemelut yang berlaku sebenarnya permainan politik.

Justeru Seri Paduka telah menasihatkan supaya ahli-ahli parlimen melihat belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di parlimen adalah suatu yang sangat penting kepada rakyat dalam menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara, termasuklah peruntukan kewangan yang diperlukan barisan hadapan.



Oleh yang demikian, sebagai rakyat Malaysia yang cintakan kedamaian dan kesejahteraan, tanpa mengira latar belakang masing-masing perlu mentaati nasihat Seri Paduka yang merupakan kuasa tertingi negara.


Maka tidak wajar untuk sebarang tindakan menuntut pilihan raya ataupun undi tidak percaya di parlimen dalam masa terdekat.


Saya berpendapat kemelut politik yang sedang berlaku ialah kebimbangan perdana menteri tidak mendapat sokongan majoriti ekoran peristiwa Tengku Razaleigh Hamzah (ahli parlimen Gua Musang) mengemukakan usul tidak percaya pada September lalu.


Ini juga susulan Anwar Ibrahim mengadap Seri Paduka susulan kenyataan Dr Zahid Hamidi, presiden Umno yang tidak dapat menghalang ahli parlimen Umno yang menyokong Anwar.


Blok Umno

Muhyidin Yasin dilantik sebagai perdana menteri setelah disokong oleh ahli-ahli parlimen Umno/BN, PAS dan Gabungan Parti Sarawak, selain ahli-ahli parlimen Bersatu, penyokong Azmin Ali (dalam PKR) dan ahli-ahli parlimen Umno yang melompat parti.

Kalau dilihat secara menyeluruh, komposisi yang paling besar menyokong perdana menteri adalah dari blok Umno/BN.

Namun, kedudukan ahli kabinet yang dilantik tidak menggambarkan kehadiran ‘muka’ Umno dalam kerajaan kerana hanya seorang naib presiden dari kalangan pimpinan tertinggi (presiden, timbalan presiden dan naib-naib presiden) yang dilantik.

Penjawat jawatan ini dipilih oleh ahli ketika parti tidak menjadi kerajaan.

Oleh itu, parti tidak dapat menterjemahkan hasrat dan pandangannya dalam kerajaan, apatah lagi untuk mempertahankan kerajaan, berbanding dengan pimpinan parti-parti lain yang menganggotai kerajaan.

Selain itu, peristiwa yang berlaku dalam pilihan raya Sabah yang dikatakan “Umno/BN telah dibuli” oleh Perikatan Nasional juga telah memanaskan lagi kemelut politik ini, di samping kerjasama ikhlas yang tidak bertulis menyebabkan Umno tersingkir dari memimpin kerajaan Sabah.

Oleh itu, kemelut ini tidak boleh dilihat hanya Umno sahaja seolah-olah menjadi puncanya.

Keikhlasan Umno memberikan 11 “kerusi lompat” kepada Bersatu adalah bukti Umno sedia bekerjasama dengan Perikatan Nasional.

Saya melihat, tuntutan utama Umno hanya dua.

Pertama; semua bentuk kerjasama Umno/BN dan Bersatu/PN hendaklah ditulis dengan nyata supaya boleh dijadikan panduan.

Dan kedua; melihat semula anggota kabinet supaya kahadiran Umno itu melambangkan kerjasama yang kuat dalam kerajaan.

Bagi saya, kemelut politik ini hanya boleh diselesaikan oleh perdana menteri, yang juga pengerusi PN.

Perdana menteri sewajarnya menunjukkan sikap berjiwa besar di sebalik panggilan manja “abah” yang membawa pengertian seorang bapa yang penyayang.

Saya yakin dan percaya kepimpinan tertinggi Umno tidak akan sekali-kali lari dari landasan untuk menyokong kerajaan tanpa DAP.

Md Jais Sarday ketua Umno Bahagian Kluang, Johor.

No comments:

Post a Comment