Monday 26 October 2020

Lelaki ditemukan mati dalam kereta di Hentian Rehat Dan Rawat Tapah


IPOH: Seorang lelaki ditemukan mati di dalam sebuah kereta di Hentian Rehat dan Rawat Tapah arah selatan, dekat sini, pagi tadi.

 

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan mayat Ng Kar Weng, 26, di dalam sebuah kereta Honda Jazz yang berkunci pada pukul 11.30 pagi.

 

"Kami segera mengerahkan pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Tapah ke lokasi kejadian bagi kerja-kerja mengeluarkan mayat mangsa.

 

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, enjin dan pendingin hawa kereta dalam keadaan telah dimatikan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Beliau berkata mayat mangsa dikeluarkan dengan menggunakan peralatan khas bagi membuka pintu kereta dan operasi tamat pada pukul 12.12 tengah hari.

 

Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

 


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tapah Supt Wan Azharuddin Wan Ismail berkata mayat dikeluarkan oleh pihak polis yang mengenakan sut peralatan perlindungan diri  dengan bantuan pihak Kementerian Kesihatan.

 

Katanya pemeriksaan ke atas kereta berkenaan menemukan pasu tanah berisi arang yang telah terbakar di ruang kaki tempat duduk belakang.

 

"Siasatan awal mendapati mangsa yang masih bujang dan bekerja sebagai tukang cat kenderaan tinggal seorang diri di sebuah kondominium di Menglembu, Ipoh dan mangsa tidak pernah menceritakan sebarang masalah kepada keluarganya sebelum ini," katanya.

 

Beliau juga berkata pemeriksaan awal tidak menemukan sebarang kecederaan pada mangsa mahupun unsur jenayah di tempat kejadian.

 

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, katanya.

 

-- BERNAMA

 

No comments:

Post a Comment