Monday 26 October 2020

Penoreh terkejut jumpa bom lama di kebun getah


PADANG BESAR: Seorang penoreh getah terkejut apabila menjumpai objek disyaki bom yang dipercayai tinggalan Perang Dunia Kedua berhampiran kebun miliknya semalam.

 

Ketua Polis Daerah Padang Besar Supt Saifudin Aslin Abbas berkata lelaki berusia 39 tahun itu kemudiannya memaklumkan perkara tersebut kepada petugas Op Benteng Wawasan di Pos Kawalan TS10, Batalion 1 Pasukan Gerakan Am (PGA) kira-kira pukul 6.50 petang.

 

“Pegawai dan anggota daripada Pos Kawalan TS10 telah membuat pemeriksaan dan seterusnya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

 

Beliau berkata hasil pemeriksaan yang dilakukan oleh Unit Persenjataan dan Unik Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis mendapati bahawa objek berkenaan adalah bahan letupan jenis ‘Bom Shell Mortar’ dan masih aktif.

 


Katanya, kawasan kebun getah itu telah ditutup dan dikawal oleh anggota daripada Batalion 1 PGA bagi mengelak berlaku insiden yang tidak diingini.

 

“Bom tersebut berjaya dimusnahkan oleh Unit Pemusnah Bom IPK Perlis pada 12.45 tengah hari tadi.

 

“Polis menasihati orang ramai agar segera melaporkan kepada pihak polis sekiranya menjumpai objek seperti bom dan tidak menyentuh atau membawanya pulang ke rumah,” katanya.

 

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment