Monday 26 October 2020

KASA serah projek pembesaran Empangan Mengkuang fasa 1, 2A kepada Pulau Pinang


GEORGE TOWN: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) hari ini secara rasminya menyerahkan Projek Pembesaran Empangan Mengkuang (MDEP) Fasa 1 dan Fasa 2A kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

 

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata dua fasa tersebut adalah Fasa 1 iaitu pembinaan pembesaran Empangan yang telah siap pada 10 April 2017 dan Fasa 2A iaitu menaik taraf Rumah Pam Mak Sulong yang telah siap pada 28 Sept 2017.

 

"Projek yang dilaksanakan ini akan menyediakan sumber air tambahan dalam memastikan jaminan bekalan air secara berterusan kepada penduduk negeri Pulau Pinang yang kini mencapai kadar liputan 100 peratus.

 

"Ia juga dapat meningkatkan kadar rizab margin air terawat Pulau Pinang ke satu paras yang selesa sekiranya operasi loji rawatan air dihenti tugas atas faktor-faktor seperti pencemaran sumber air, peningkatan permintaan secara mendadak, gangguan tidak berjadual dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

 


Beliau berkata sehingga kini, sebanyak 6.9 juta meter padu air mentah telah dilepaskan dari Empangan Mengkuang bagi menampung keperluan air kepada penduduk Pulau Pinang akibat cuaca kering yang melanda Utara Semenanjung.

 

"Pada tahun 2019, Pulau Pinang merekodkan kadar rizab margin air terawat sebanyak 32 peratus. Kerajaan Persekutuan juga telah melaburkan hampir RM3 bilion di bawah RMK11 (2016 – 2020) bagi pelaksanaan pelbagai projek bekalan air, sumber air dan tebatan banjir serta perkhidmatan pembetungan di negeri Pulau Pinang.

 

"Di bawah Rolling Plan yang keempat (bagi tahun 2020), peruntukan berjumlah RM45.9 juta diluluskan untuk melaksanakan 17 projek sumber air, bekalan air dan perkhidmatan pembetungan," katanya.

 

Projek Pembesaran Empangan Mengkuang telah bermula pada tahun 2011 melalui peruntukan secara langsung Kerajaan Persekutuan berjumlah RM1.2 bilion dengan melibatkan empat fasa iaitu Fasa 1, Fasa 2A, Fasa 2B dan Fasa 2C.

 

Fasa 2B melibatkan penyaluran air mentah dari Stesen Pam Mak Sulong ke Terusan Sungai Dua yang kini dalam peringkat akhir pengambilalihan tanah manakala Fasa 2C melibatkan pembinaan Rumah Pam Lahar Yooi yang sedang dalam peringkat kajian semula oleh perunding.

 

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment