IPOH: Perak menjadi
negeri pertama melancarkan khidmat penghantaran Warong Rider bagi membantu
usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) selain menjana peluang pekerjaan
kepada golongan belia.
Pengerusi Jawatankuasa
Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak Khairul Shahril Mohamed berkata
inisiatif yang dilancarkan kerajaan negeri itu merupakan usaha Gabungan
Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM) dengan kerjasama
Idea Creative Technology Sdn Bhd dan Digital Perak Corporation Holdings.
“Inisiatif ini dijangka
menjana 1,200 peluang pekerjaan kepada rakyat Perak terutamanya kepada golongan
asnaf, penganggur dan B40.
“Bagaimanapun, seramai
480 penghantar akan dilantik terlebih dahulu bagi peringkat awal di bawah
kesemua 24 kawasan Parlimen di Perak,” katanya pada sidang media pelancaran
awal Warong Rider oleh Menteri Besar
Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai
Eksekutif Digital Perak Meor Rezal Fitri Meor Redwan dan Ketua Pegawai
Eksekutif Warong Rider Mohd Nadzri Kamarulzaman.
Khairul Shahril berkata Warong Rider menawarkan pelbagai khidmat penghantaran seperti makanan, dokumen dan bungkusan, ubat-ubatan, barangan dapur serta khidmat belian barangan pembeli peribadi yang dapat membantu usahawan IKS Perak yang terjejas akibat penularan COVID-19.
Katanya, perkhidmatan
Warong Rider yang dijangka mula beroperasi dalam tempoh dua bulan adalah
berbeza dengan perkhidmatan penghantaran yang lain kerana mengenakan caj
penghantaran yang jauh lebih murah iaitu hanya RM2 bagi dua kilometer (km)
pertama dan 60 sen bagi km seterusnya.
“Ia sekali gus dapat
membantu pihak usahawan IKS memasarkan produk mereka menerusi perkhidmatan ini
malah orang ramai bukan sahaja di kawasan bandar tetapi juga kawasan luar
bandar dapat menggunakan Warong Rider,” katanya.
Selain menerima elaun
tetap sebanyak RM1,200 sebulan, penghantar Warong Rider boleh menikmati
kelebihan lain termasuk Kit Pemula bernilai RM250 melalui Geran CONNECTIME
daripada Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corporation
Malaysia) dan Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan
Multimedia serta komisen penghantaran.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment