BATU GAJAH: Kira-Kira
3,000 penduduk dari tiga kampung di sini meminta pihak berwajib mengambil
langkah bagi menyelesaikan masalah lalat yang membelenggu mereka sejak 16 tahun
lepas.
Masalah yang berlarutan
sekian lama itu didakwa berpunca daripada perusahaan ternakan ayam yang
terletak berhampiran Kampung Baru Kinta Valley, Kampung Chenderong dan
Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) Batu 6.
Seorang pesara kerajaan
Zairil Rahman Zainal, 56, berkata masalah itu menyebabkan penduduk setempat
termasuk keluarganya sukar melaksanakan aktiviti harian apatah lagi beliau
perlu menjaga seorang anak yang menghidap kanser darah.
"Kami nak makan,
tidur atau berehat semua tidak selesa sebab hari-hari dihurung lalat, sekarang
ni pula kami sekeluarga turut rasa gatal-gatal," katanya ketika ditemui di
Kampung Baru Kinta Valley hari ini.
Turut berdepan masalah
sama, P. Vignaswaran, 33, seorang pemandu lori, berkata beberapa hari lepas
telinga anak lelakinya berumur dua tahun dimasuki lalat sehingga terpaksa
mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta yang menelan kos RM800.
"Bayangkan apa yang
terpaksa penduduk di sini hadapi, sudah lama kami bersabar tapi sampai bila
kami perlu susah untuk kesenangan satu pihak. Kos rawatan anak saya tempoh hari
bernilai RM800 bersamaan gaji saya selama 15 hari," katanya.
Seorang lagi pemandu
lori, A. Veerapantty, 49, berkata beliau berasa malu apabila sahabat handai
atau saudara mara datang ke rumahnya kerana lalat terlalu banyak.
"Sudah pelbagai
pihak kami adukan masalah kami ini, kepada pihak berkuasa tempatan, ketua
kampung dan wakil rakyat tapi masih tiada penyelesaian. Kami harap kerajaan
hari ini dapat bantu kami," katanya.
Sementara itu, Ketua
Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional Perak Mohd Ravi Abdullah meminta
kerajaan negeri campur tangan bagi menyelesaikan masalah tersebut.
"Dipercayai terdapat
20 reban ayam yang diusahakan secara komersial di kawasan berdekatan. Walaupun
perusahaan itu mempunyai lesen, kerajaan negeri harus campur tangan bagi
selesaikan masalah yang dihadapi penduduk," katanya.
Bernama cuba mendapatkan
komen daripada Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan
Pelancongan Perak Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi namun belum menerima
sebarang maklum balas.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment