KUALA LUMPUR: Ketua pembangkang, Anwar
Ibrahim dipanggil untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman esok
berhubung senarai ahli parlimen yang didakwa menyokongnya sebagai Perdana
Menteri.
Pengarah Siasatan Jenayah
Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata, pihak polis setakat ini menerima sebanyak
113 laporan mengenai perkara itu.
"PDRM masih
menjalankan siasatan lanjut berkenaan dakwaan yang tersebar luas di media massa
ketika ini.
"Sehubungan itu, YB
Datuk Seri Anwar Ibrahim telah diminta untuk hadir memberi keterangan pada 16
Oktober 2020 di Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (UJST) Jabatan Siasatan
Jenayah Bukit Aman," katanya.
Huzir berkata siasatan
diklasifikasikan di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta
Komunikasi dan Multimedia 1998.
PDRM juga katanya
menggesa orang ramai tidak membuat, menerbitkan atau mengedarkan apa-apa
kenyataan, khabar angin atau berita yang mempunyai kecenderungan mencetuskan
suasana tidak harmoni, perpecahan, perasaan permusuhan yang boleh menggugat
ketenteraman serta keselamatan awam.
Anwar dalam sidang media
bulan lalu mendakwa mempunyai cukup majoriti untuk menubuhkan kerajaan baru.
Pada Selasa lalu,
presiden PKR itu mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Sultan
Ahmad Shah bagi mempersembahkan dokumen sahih yang didakwa bukti sokongan lebih
120 anggota parlimen terhadapnya.
Sebelum mengadap Seri
Paduka, senarai ahli parlimen yang dikatakan menyokongnya sebagai perdana
menteri tular di media sosial.
Beberapa anggota parlimen
Umno yang turut disenaraikan, bagaimanapun menafikan pembabitan mereka dan
membuat laporan polis.
No comments:
Post a Comment