LUMUT: Taktik seorang lelaki yang
berpura-pura mencari telefon bimbitnya ketika Op Perdana di sebuah ladang
kelapa sawit di Pantai Remis di sini, semalam tidak menjadi setelah ditahan
bersama 48 individu oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Ketua Pegawai AADK
Manjung Asnida Ahmad berkata dalam kejadian pukul 9.20 pagi semalam, lelaki
berumur 42 tahun itu sanggup meninggalkan motosikalnya di tepi jalan besar
selepas menyedari kehadiran anggota AADK dan menanyakan mengenai telefon
bimbitnya yang kononnya hilang.
“Kesemua yang ditahan
berusia antara 27 hingga 65 tahun dan ujian saringan air kencing mendapati
seramai 44 tahanan positif heroin dan syabu,“ katanya ketika dihubungi di sini
hari ini.
Menurut beliau,
kebanyakan suspek bekerja kampung dan nelayan dan operasi dijalankan dengan
kerjasama anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Majlis
Perbandaran Manjung (MPM), di beberapa lokasi termasuk dua ladang sawit di
sekitar Pantai Remis dan Sitiawan bermula Ahad lepas, sehingga 12 tengah hari,
semalam.
Asnida berkata, ladang
sawit di situ dipercayai dijadikan tempat penagih mendapatkan dadah dan
melepaskan gian dan ia aktif sejak hampir sebulan lepas.
"Seramai 44 lelaki
ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (APD) 1983 manakala empat lain
iaitu masing-masing seorang di bawah Seksyen 39(A)(1) dan Seksyen 39(A)(2) Akta
Dadah Berbahaya 1952 dan dua lagi mengikut Seksyen 12(2) akta sama,"
katanya.
Operasi dijalankan
hasil aduan orang awam dan risikan
selama dua minggu.
Katanya, trend kini
didapati menjadikan ladang sawit sebagai lokasi mobil bagi aktiviti
penyalahgunaan dadah bagi mengelak ia
dikesan pihak berkuasa.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment