Pegawai Maqis membuat
pemeriksaan pada kontena yang membawa kotak daging babi sejuk beku.
BUTTERWORTH - Jabatan
Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang
menggagalkan cubaan membawa masuk sebanyak 1,041 kotak daging babi sejuk beku
di Pelabuhan Kontena Butterworth Utara (NBCT) Pulau Pinang di sini semalam.
Pengarahnya, Zarina Ramli
berkata, dalam pemeriksaan pada jam 11.30 pagi itu, pihaknya mendapati barangan
yang dibawa dari Jerman itu tidak mempunyai dokumen pengimportan yang sah
daripada Maqis.
Menurutnya, daging babi
sejuk beku seberat 25,886.50 kilogram (kg) itu dianggarkan bernilai RM413,376.
"Tujuan larangan
pengimportan serta membawa masuk daging berkenaan di setiap pintu masuk negara
adalah bagi menghalang risiko kemasukan virus African Swine Fever (ASF) ke
negara ini di mana ia akan memberikan impak kepada industri penternakan babi
dalam negara.
"Antara produk yang
berisiko dalam penularan virus ASF adalah seperti babi hidup, daging babi sejuk
beku, daging babi proses seperti babi salai, sosej babi dan sebagainya,"
katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Daging babi sejuk beku
dari Jerman yang dirampas Maqis di Butterworth semalam.
Zarina berkata, perbuatan
mengimport daging babi sejuk beku tanpa permit import merupakan satu kesalahan
di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia
2011 (Akta 728) dan boleh dihukum kesalahan di bawah Seksyen 11(3) Akta yang
sama.
Menurutnya, jika sabit
kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh
tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.
"Maqis mengambil
langkah serius mengenai pengimportan keluaran pertanian dalam negara terutama
isu melibatkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan
perosak yang boleh mengancam industri pertanian negara.
"Tindakan
penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasa bagi memastikan kawalan
penyakit haiwan, ikan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan
terpelihara," katanya.
--sinarharian
No comments:
Post a Comment