Thursday 22 October 2020

MAQIS Pulau Pinang rampas makanan gluten jagung bernilai RM211,777.16



BUTTERWORTH: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang merampas makanan gluten jagung bernilai RM211,777.16 kerana tiada dokumen permit import yang sah di Pelabuhan Kontena Butterworth Utara (NBCT), di sini, kelmarin.

 

Pengarah MAQIS Pulau Pinang Zarina Ramli berkata pemeriksaan yang dibuat pada jam 4.50 petang ke atas empat kontena yang membawa 112,000 kilogram (kg) makanan gluten jagung dari China itu mendapati tidak mempunyai dokumen permit import yang sah daripada MAQIS.

 

"Kesemua dagangan tersebut telah disita dan berdasarkan siasatan pengimportan makanan gluten jagung dalam bentuk serbuk itu adalah untuk diproses menjadi makanan haiwan bagi dipasarkan di dalam dan luar negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Katanya kegagalan mengemukakan permit import yang sah semasa pengimportan adalah satu kesalahan menurut  Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000  atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

 

-- BERNAMA

 

 

No comments:

Post a Comment