Rosli menunjukkan isyarat
tanda bagus selepas menerima kad pengenalan miliknya yang diserahkan JPN di
rumahnya dekat Kampung Kongsi 6 Bedong Kedah hari ini.
BEDONG: Seorang lelaki
kurang upaya (OKU) yang terlantar sejak 50 tahun lalu gembira kerana akhirnya
memiliki kad pengenalan yang diserahkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)
di rumahnya, hari ini.
Biarpun tidak mampu
bergerak dan bercakap, namun reaksi suara dan gerakan mata Rosli Ahmadi, 53,
dari Kampung Kongsi 6, Bedong, Kedah menunjukkan dia gembira apabila kad pengenalan
miliknya siap sepenuhnya.
Ibun tirinya, Rokiah
Saad, 60, berkata, sebelum ini Rosli tidak pernah memohon kad pengenalan akibat
keadaannya yang uzur.
"Dia sangat seronok
bila dapat kad pengenalan, sebab selama ini, tak pernah mohon disebabkan
keadaannya yang uzur, tetapi apabila JPN sendiri mai (datang) ke rumah, kami
rasa lega sangat," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.'
Rokiah menyaksikan
penyerahan kad pengenalan oleh Yusman Hambali kepada Rosli yang terlantar
kira-kira 50 tahun lalu.
Rokiah berterima kasih
kepada semua pihak yang membantu melancarkan urusan Rosli mendapatkan kad
pengenalan dan penyerahannya disempurnakan oleh Pengarah JPN Kedah, Yusman
Hambali Ahmad.
Hadir sama, Ketua UMNO
Merbok, Anuar Ahmad, barisan Community Polising Malaysia Cawangan Gurun, Klinik
Kesihatan Bedong dan Panel Penasihat Kesihatan Klinik Bedong.
Rosli memperoleh kad
pengenalan itu melalui Mobile Ehsan JPN.
Sementara itu, Yusman
Hambali berkata, pihaknya telah bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat
untuk merujuk kad OKU serta sijil kelahiran yang dimiliki lelaki itu untuk
memproses kad pengenalan.
Menurutnya, sejak 2019,
Mobile Ehsan JPN menerima 169 permohonan di Kedah di mana 32 daripadanya masih
dalam proses kelulusan.
Menurutnya, orang ramai
yang mempunyai sebarang pertanyaan berhubung Mobile Ehsan JPN boleh menghubungi
Unit Komunikasi Korporat JPN Kedah di talian 04-7314585.
--sinarharian
No comments:
Post a Comment