ALOR SETAR: Pembelian
kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire oleh Syarikat Air Darul Iman
(SADA) baru-baru ini dibuat oleh Jawatankuasa Perolehan Aset syarikat berkenaan
secara dalaman dan dilakukan mengikut had perbelanjaan ditetapkan.
Menteri Besar Kedah
Muhammad Sanusi Md Nor yang membuat penjelasan itu berkata beliau difahamkan
pembelian kenderaan itu adalah bagi kegunaan ramai (pool), dalam kalangan ahli
lembaga pengarah dan pegawai kanan SADA.
“Saya hanya menggunakan
dua kenderaan rasmi iaitu Volvo S90 dan Mercedez S320 yang dibeli bekas Menteri
Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebelum ini,” katanya kepada pemberita
selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian
semasa merujuk beberapa informasi yang tular di media sosial sejak beberapa
hari lepas mengenai pembelian kenderaan berkenaan, yang dikaitkan dengan beliau
sebagai Pengerusi SADA.
Semalam beberapa media
melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah telah
mengunjungi Ibu Pejabat SADA, di sini bagi meneliti dokumen pembelian kenderaan
itu yang dikatakan dibeli pada harga RM345,000 dan memiliki spesifikasi
tertinggi.
Muhammad Sanusi berkata
beliau juga akan memfailkan saman fitnah terhadap beberapa pemimpin politik
yang mengaitkan dirinya dengan pembelian kenderaan berkenaan, antaranya Ahli
Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)
Pengkalan Kundor, Dr Ismail Salleh.
“Saya telah lantik
beberapa peguam untuk mengendalikan kes saman fitnah ini. Saya lihat ada
beberapa tulisan dan live Facebook dibuat pemimpin pembangkang bertaraf ‘ikan
jerung’ dan ‘ikan bilis’ yang mengaitkan saya dengan pembelian Vellfire ini.
Kes akan difailkan di mahkamah pada minggu depan,” katanya.
Katanya individu atau
mana-mana ‘cybertroopers’ yang dikesan membuat kenyataan berunsur fitnah
berkaitan isu itu, terutamanya yang dimuat naik ke laman sosial juga akan turut
dijejak dan diheret ke mahkamah sebagai defendan nanti.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment