GEORGE TOWN: Kerajaan
Pulau Pinang akan mengeluarkan tawaran Permohonan Cadangan (RFP) untuk
pelaksanaan Projek Kereta Kabel Bukit Bendera pada bulan depan, kata Ketua Menteri
Chow Kon Yeow.
Beliau berkata keputusan
itu diambil selepas Kementerian Kewangan dalam surat bertarikh 3 April,
memaklumkan peruntukan untuk projek tersebut tidak dapat diteruskan sekalipun
projek berkenaan diluluskan dalam Belanjawan 2020.
Kerajaan Pulau Pinang
telah mengemukakan rayuan pada 10 Jun lepas supaya Kementerian Kewangan
meneliti dan menimbang semula keputusan itu, namun hingga kini tiada sebarang
maklum balas diterima, katanya.
“Jadi, kerajaan negeri
akan meneruskan projek ini dengan memanggil RFP melalui Perbadanan Bukit
Bendera pada November nanti," katanya semasa menjawab soalan Lim Guan Eng
(PH-Air Putih) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, di
sini hari ini.
Katanya pelaksanaan
projek Kereta Kabel Bukit Bendera dijangka mengambil masa tiga hingga empat
tahun untuk siap sepenuhnya, sebelum boleh beroperasi.
Ditanya mengenai status
projek-projek kerajaan persekutuan, Chow berkata terdapat 167 projek diluluskan
untuk negeri itu dalam Belanjawan 2020
setakat 2 Ogos lalu dengan kos keseluruhan berjumlah RM14.9 bilion.
Daripada jumlah itu, 126
adalah projek baharu dengan kos RM10.52 bilion, manakala 41 projek adalah
projek sambungan berkos RM4.38 bilion, katanya.
Jelas beliau, bagi
projek-projek yang diluluskan itu, sebanyak 25 sudah disiapkan, 122 mengikut
jadual, 13 dalam perancangan, enam lewat dari jadual dan satu projek sakit.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment