GEORGE TOWN: Sesi
persidangan Dewan Undangan (DUN) Negeri Pulau Pinang hari ini kecoh hampir 10
minit dengan pertikaman lidah beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)
berhubung isu ketidakhadiran ADUN Pantai Jerejak.
ADUN Zulkifli Ibrahim
(Bersatu-Sungai Acheh) telah bangun bertanya kepada Speaker Datuk Law Choo
Kiang ke mana ADUN Pantai Jerejak, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail,
sebelum DUN beralih kepada sesi penggulungan.
Persoalan itu telah
menyebabkan ADUN Dr Afif Bahardin (Bersatu-Seberang Jaya) bangun dan membacakan
Peraturan Dewan yang mewajibkan semua ADUN kalau tidak dapat hadir harus
memaklumkan kepada setiausaha DUN dengan kadar segera.
"Saya telah
perhatikan, kerusi Pantai Jerejak ini telah kosong sejak hari pertama
persidangan. Sebelum ini ada usul nak kosongkan kerusi sekarang ini, ada
kerusi tapi tiada wakil rakyat. Apa yang berlaku ini? Ini tindakan yang tidak
menghormati Dewan," katanya.
Afif menyifatkan ADUN
Pantai Jerejak seperti menerima gaji buta dengan tidak hadir ke DUN selepas
mendapat mandat rakyat.
Tindakan itu telah
menyebabkan sesi pertikaman lidah antara beberapa ADUN Pakatan Harapan yang
bangun membantah dan meminta Afif untuk menarik balik perkataan ‘gaji buta’.
Pengerusi Jawatankuasa
Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Jagdeep Singh Deo turut menjerit supaya
semua duduk dan jangan bazir masa kerana sesi penggulungannya tidak dapat
bermula akibat kekecohan itu.
Law terpaksa campur
tangan dan meminta semua ADUN bertenang dan duduk.
Terangnya, walaupun
beliau tidak dimaklum ke mana ADUN Pantai Jerejak tetapi secara umumnya beliau
mungkin akan hadir kemudian.
Saifuddin merupakan
setiausaha-agung PKR dan juga Anggota Parlimen Kulim Bandar Bahru.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment