IPOH: Sebanyak 1,970
kekosongan jawatan dalam pelbagai industri yang memerlukan penempatan segera
boleh dimohon dan diisi oleh rakyat Perak bagi membolehkan operasinya tidak
terjejas atas faktor guna tenaga yang tidak berada pada tahap maksimum.
Pengerusi Jawatankuasa
Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Perak Razman
Zakaria berkata mereka yang sedang mencari pekerjaan diseru mengambil peluang
yang ditawarkan oleh industri melalui agensi pelaksana Pusat Aspirasi Anak Perak
(PASAK).
"Sebanyak 2,247
jawatan kosong telah diterima oleh PASAK bermula Jun sehingga September lepas
meliputi sektor pembuatan 770 kekosongan, automotif 881 kekosongan,
perkhidmatan 122 kekosongan dan lain-lain sektor, 474 kekosongan jawatan.
"Namun begitu,
daripada sejumlah 1,664 pencari kerja yang mendaftar di bawah PASAK, hanya 277
pencari kerja yang telah berjaya atau disenarai pendek oleh industri sehingga
kini.
"Ini bermakna, masih
terdapat 1,970 kekosongan jawatan kosong yang boleh dimohon dan diisi oleh
rakyat negeri Perak," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata industri
menghadapi masalah kekurangan permohonan daripada warga tempatan untuk mengisi
jawatan kosong yang ditawarkan khususnya untuk perjawatan sokongan dalam industri
pembuatan.
Justeru, kerajaan negeri
menyeru kepada pencari kerja untuk menghubungi PASAK melalui talian 05-3183290
atau melayari Facebook Pusat Aspirasi Anak Perak/PASAK untuk memperoleh
informasi terkini berkaitan peluang pekerjaan di Perak.
Selain itu, katanya
peluang latihan kemahiran jangka pendek yang ditawarkan oleh kerajaan negeri
harus dimanfaatkan sepenuhnya bagi meningkatkan kebarangkalian mereka untuk
diterima bekerja atau menceburi bidang keusahawanan dalam industri kecil dan
sederhana.
Kerajaan negeri juga
telah mengambil pendekatan jangka pendek dan panjang dalam meningkatkan taraf
sosioekonomi serta kehidupan rakyat khususnya dalam membawa peluang-peluang
pekerjaan yang ditawarkan oleh industri selain komited dalam memfokuskan peningkatan
modal insan dalam bidang kemahiran.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment