BUTTERWORTH: Mahkamah
Seksyen Butterworth di sini semalam menetapkan 18 Disember ini untuk pengurusan
kes berkaitan rasuah melibatkan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, 60, dan
dua yang lain.
Hakim Ahmad Azhari Abdul
Hamid menetapkan tarikh itu selepas pihak pendakwaan dan pembelaan memohon
untuk melengkapkan dan meneliti dokumen berkaitan sebelum diserahkan kepada
mahkamah.
Bagaimanapun kesemua tertuduh
termasuk isteri Guan Eng, Betty Chew Gek Cheng, 56, dan ahli perniagaan, Phang
Li Koon, 48, tidak hadir pada prosiding tersebut kerana mendapat pengecualian
kehadiran daripada mahkamah.
Kes berkenaan
dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S. Silvaranjini manakala Guan Eng dan Gek
Cheng diwakili peguam RSN. Rayer serta Li Koon diwakili A. Ruben Kumar.
Terdahulu, pada 11 Ogos
lalu, Guan Eng mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan kedudukannya
sebagai Ketua Menteri dan Pengerusi Lembaga Tawaran Perbadanan Pembangunan
Pulau Pinang (PDC) untuk suapan wang berjumlah RM372,000 bagi isterinya melalui
syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn. Bhd.
Ia dengan cara memastikan
syarikat Magnificent Emblem Sdn. Bhd. ditawarkan Jemputan Cadangan Perkampungan
Pekerja di Lot 631, Juru dan sebahagian Lot 282, Batu Kawan di sini yang
bernilai RM11.61 juta.
Kesalahan itu didakwa
dilakukan di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Kompleks Tun Abdul
Razak (Komtar), Georget Town dekat sini antara 19 Ogos 2013 dan 3 Mac 2016.
Beliau didakwa mengikut
Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Di mahkamah sama, Li Koon
turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat dengan Guan Eng di
lokasi dan tempoh yang sama.
Beliau didakwa mengikut
Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009.
– UTUSAN
No comments:
Post a Comment