SUNGAI PETANI -
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) semalam
menahan seorang pengurus kilang pembuatan makanan di Taman Sejati kerana
disyaki menggunakan logo tanpa kebenaran.
Ketua Cawangan KPDNHEP
Sungai Petani, Mazlan Safar berkata, lelaki berusia 50 tahun itu juga ditahan
untuk siasatan lanjut berhubung penggunaan logo Buatan Malaysia yang disyaki
menggunakan representasi palsu.
Menurutnya, dalam serbuan
jam 4 petang semalam, pihaknya turut merampas makanan siap bungkus bernilai
RM453 yang disyaki menggunakan logo terbabit.
"Keseluruhan rampasan
melibatkan tiga gulung plastik bungkusan kuetiau dan 90 bungkus kuetiau mentah
yang dicetak logo Buatan Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, syarikat
terbabit disyaki sudah beroperasi kira-kira 10 tahun.
Siasatan akan dijalankan
bawah Akta Perihal Dagangan 2011 dan jika disabitkan kesalahan, syarikat
tersebut boleh dikenakan denda maksimum sehingga RM500,000 dan jika sekiranya
kesalahan individu boleh dikenakan denda sebanyak RM250,000 atau penjara tidak
melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Tambahnya, KPDNHEP
memberi amaran keras kepada individu atau syarikat supaya mematuhi
undang-undang menjalankan perniagaan.
Pengguna disarankan
menyalurkan maklumat kepada KPDNHEP dengan melaporkan sebarang kegiatan yang
mencurigakan melalui talian hotline 1-800-886-800 atau 04-4205108 atau
http://e-aduan.kpdnhep.gov.my
--sinarharian
No comments:
Post a Comment