Pegawai Kesihatan
Persekitaran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) JKN Mohd Wazir
Khalid menunjukkan logo halal yang tidak sah semasa melakukan pemeriksaan dalam
satu operasi di sebuah premis memproses kicap dan sos hari ini. Premis itu
diarahkan tutup kerana mendapati premis berkenaan dalam keadaan yang tidak
bersih dan menggunakan logo halal tanpa kelulusan yang sah.
BUKIT MERTAJAM: Sebuah
kilang kicap yang terletak di Kuala Mengkuang telah diarahkan tutup, dalam
sebuah Ops Sepadu hari ini setelah didapati melakukan pelbagai kesalahan.
Pegawai Kesihatan
Persekitaran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan
Negeri (JKN) Pulau Pinang Mohd Wazir Khalid berkata, operasi itu dijalankan
setelah pihaknya menerima aduan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri
dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk membuat pemeriksaan kebersihan di premis
tersebut.
“Hasil serbuan mendapati
aduan adalah positif. Kesalahan yang dilakukan adalah kesalahan besar iaitu
premis perumahan dijadikan tempat pemprosesan soya (kilang), struktur bangunan
yang tidak selamat, penyimpanan bahan-bahan makanan dan tong-tong kicap yang tidak bersih, perkakas berkulat
dan penemuan najis tikus serta pembiakan jentik-jentik.
“Kita juga mendapati logo
Halal dan Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI),
digunakan tanpa kebenaran pihak berkuasa. Kita telah selidik dan mendapati
mereka tiada kelulusan, jadi kita akan panjangkan hal ini kepada unit yang
berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan serbuan di sini hari
ini.
Operasi hari ini telah
dianggotai oleh 12 orang pegawai daripada JKN Pulau Pinang, lima pegawai
daripada KPDNHEP dan dua pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang
(JHEAIPP).
Antara kesalahan lain
yang didapati ialah, pemilik premis telah menggaji pekerja tanpa suntikan
tifoid, sistem pendawaian elektrik juga didapati tidak stabil dan dikhuatiri
mampu mengakibatkan litar pintas.
Mohd Wazir berkata, penutupan premis maksimum 14 hari itu dilakukan di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983, Peraturan-peraturan Makanan 1985 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009. Sebanyak dua notis telah dkeluarkan dengan nilai kompaun mencecah RM5,500.
“Satu lagi kompaun telah
dikeluarkan oleh KPDNHEP atas kesalahan di bawah Perintah Perihal Dagangan
(Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, kerana menggunakan logo Halal tanpa
kebenaran. Kes ini akan dilanjutkan ke mahkamah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau
mengingatkan pemilik premis supaya sentiasa menjaga tahap kebersihan premis,
agar tidak mendatangkan bahaya kepada
pengguna.
Katanya biarpun majoriti
kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini sibuk menangani kes
COVID-19, namun bahagian penguatkuasaan juga giat menjalankan pemeriksaan di
premis-premis, supaya kesihatan dan keselamatan pengguna terjaga.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment