GEORGE TOWN: Majlis
Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menggesa semua penganjur pasar malam supaya
mematuhi dan mengimplementasi prosedur operasi standard (SOP) ketika
menganjurkan pasar malam.
Datuk Bandar MBPP Datuk
Yew Tung Seang berkata hasil tinjauan yang diadakan di pasar malam Bayan Baru
hari ini adalah tidak memuaskan dan dikhuatiri menjadi antara punca penularan
wabak COVID-19.
“Kami lihat tadi
pengunjung agak ramai dan kami harap Majlis Pengurusan Komuniti Kampung
(MPKK) Mahsuri sebagai penganjur supaya
menjaga jarak peniaga dan pelanggan,” katanya kepada pemberita selepas membuat
tinjauan pematuhan SOP di sini hari ini.
Untuk mengurangkan
kesesakan, beliau mencadangkan agar penganjur membuat jadual supaya peniaga
dapat menjalankan perniagaan secara bergilir. Beliau juga menegur sesetengah
peniaga yang tidak memakai pelitup muka dengan betul.
Yew berkata MBPP sedar
akan kesulitan yang dihadapi oleh peniaga, oleh itu pihaknya akan mengusulkan
pengecualian pembayaran sewa tapak kepada kesemua 42 pasar malam dan pasar pagi
di kawasan pulau. Beliau akan mengusulkan isu berkenaan di Mesyuarat
Jawatankuasa Tetap Kewangan pada 18 Nov kelak.
“Kami akan cuba bawa dan
bincangkan perkara ini dalam mesyuarat nanti dan nilai sewaan keseluruhan
membabitkan RM8,320 sebulan," katanya lagi.
Tinjauan mendapati pasar
malam itu mempunyai 180 penjaja sepanjang jalan sejauh kira-kira 300 meter.
Pengerusi MPKK Mahsuri,
Syed Baharuddin Syed Hashim berkata pihaknya mendapat rayuan daripada peniaga
untuk terus menjalankan perniagaan setelah terjejas teruk sejak Perintah
Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.
“Sejak dibenarkan
beroperasi semula setelah tamat PKP, memang kami rancang untuk benarkan hanya
dua barisan gerai berbanding empat barisan sekarang… Namun ramai peniaga merayu
untuk berniaga kerana mereka tiada pekerjaan lain. Kami pernah cuba untuk
panjangkan tapak pasar malam namun mendapat tentangan dari penduduk setempat,”
katanya.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment