Monday 19 October 2020

Dua maut kemalangan di Sungkai



IPOH: Dua maut dalam kemalangan melibatkan dua buah kereta di Jalan Kampung Klah Baru, Sungkai kira-kira 90 kilometer dari sini, pagi ini.

 

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri Perak berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai Mohamed Tahir Junus, 64, dan Nor Aini Mohd Sam, 56, kedua-duanya beralamat di Rumah Awam 2, Jalan Ketoyong, Tanjung Malim.

 

Katanya pihak bomba menerima panggilan mengenai kemalangan melibatkan sebuah Perodua Myvi dengan Proton Saga BLM itu pada pukul 11.04 pagi, sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bidor serta Slim River dikejarkan ke lokasi.

 

“Apabila sampai di lokasi, anggota mendapati terdapat dua orang dalam Proton Saga BLM tersepit dan meninggal dunia, manakala pemandu Myvi yang parah dikejarkan ke Hospital Slim River. Operasi tamat pada 1.45 tengah hari,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tapah Supt Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, maklumat lanjut mengenai kemalangan tersebut akan diberikan dalam masa terdekat.

 

Sementara itu, Wan Azharuddin mengesahkan kedua-dua mangsa yang maut iaitu Mohamed Tahir dan Nor Aini adalah suami isteri, yang tidak bekerja.

 


Katanya pemandu Perodua Myvi yang parah dikenali sebagai Muhammad Ridhwan Ismail, 22, beralamat di Kampung Padang Tembak, Teluk Intan, juga telah meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Slim River.

 

Menurut Wan Azharuddin, kemalangan dipercayai berlaku semasa Muhammad Ridhwan dalam perjalanan dari Subang Jaya, Selangor menghala ke Teluk Intan.

 

“Apabila tiba di lokasi kemalangan, mangsa disyaki hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung secara depan-depan dengan Proton Saga BLM, yang dinaiki suami isteri berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Beliau berkata waris mangsa telah dimaklumkan mengenai kejadian, dan kedua-dua kenderaan terlibat dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan, dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment