SEREMBAN: Kongres
Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mahu pihak
berkuasa menyelesaikan segera proses siasatan semula berhubung kematian anggota
bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim bagi memastikan keadilan sebenar dapat
ditegakkan.
Presidennya, Adnan Mat
berkata, pihaknya sentiasa memantau perkembangan terkini membabitkan kes
siasatan Muhammad Adib dan sentiasa juga memberi sokongan kepada pihak berkuasa
dalam meneruskan siasatan.
“Lihatlah kembali rakan
kami yang meninggal dunia iaitu Muhammad Adib yang belum lagi mendapat keadilan
sepenuhnya walaupun inkeus kes telah selesai dijalankan.
“Keputusan (mahkamah)
telah pun dikeluarkan dan menyatakan berlaku tindak balas atau perkara yang
menyebabkan dia (Muhammad Adib) dibunuh. Bukan tanpa sengaja atau kemalangan
sebaliknya disengajakan oleh pihak lain,” katanya.
Beliau berkata demikian
dalam sidang akhbar pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Dwi Tahunan Kali
Ke-22 Kesatuan Pekerja Bomba dan Penyelamat Malaysia Cawangan Negeri Sembilan
di sini hari ini.
Menurut Adnan lagi, pada
masa yang sama, CUEPACS berharap isu tersebut tidak terus dijadikan modal
politik atau isu perkauman demi kepentingan sesetengah pihak sahaja.
“CUEPACS menaruh harapan
yang tinggi agar keadilan untuk Muhammad Adib akan terus dituntut.
“Keadilan ini amat
penting bagi memastikan kes seumpama ini tidak berlaku lagi pada masa akan
datang terutamanya melibatkan penjawat awam yang bertugas demi kepentingan
rakyat dan negara,” katanya.
Justeru, beliau berkata,
CEUPACS merayu kepada kerajaan supaya memberi keadilan kepada Muhammad Adib
secepat mungkin memandangkan prosiding kes yang telah dijalankan selama ini
telah mendapat jawapan.
Muhammad Adib, anggota
van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) Balai Bomba dan Penyelamat
Subang Jaya disahkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17
Disember 2018.
Dia sebelum itu mengalami
kecederaan parah ketika bertugas dalam rusuhan dan kekecohan di tapak Kuil Sri
Maha Mariamman, USJ 25 pada 27 November 2018.
Susulan itu, Peguam
Negara mengarahkan majistret melakukan inkues bagi menentukan sebab kematian
mangsa pada 27 Disember 2018.
Sepanjang prosiding
inkues, seramai 30 saksi termasuk beberapa saksi pakar dan bapa Allahyarham,
Mohd. Kassim Abdul Hamid dipanggil memberi keterangan dengan 137 bahan bukti
dikemukakan.
Pada 27 September 2019,
Koroner Rofiah Mohamad memutuskan punca kematian Muhammad Adib akibat perbuatan
jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali.
-UTUSAN
No comments:
Post a Comment