NURUL Shahiera Najwa
Mohamad (kanan) bersama rakannya di sisi kubur Nurul Muliani di Tanah
Perkuburan Islam Alor Pongsu, Bagan Serai, semalam. – UTUSAN/WAT KAMAL HASAN
BAGAN SERAI: “Saya nak
berhenti sekolah, dah tak seronok belajar, saya nak ikut Amalina’.
Kata-kata itu masih
diingati Hasimah Awang 47, ibu kepada remaja perempuan Allahyarham Nurul Muliani
Abdul Rashid, 16, yang maut bersama rakannya, Nor Rosalinda Salim, 18, dalam
kemalangan di persimpangan lampu isyarat Kilometer 118.6 Jalan Ipoh-Butterworth
di sini semalam.
Menurut Hasimah, Nurul
Muliani yang tinggal di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tasek
Mutiara, Simpang Empat, Pulau Pinang menyatakan hasratnya itu baru-baru ini.
Katanya, anak keempat
daripada enam adik-beradik itu mengatakan tidak mahu lagi tinggal di asrama
dan mahu berhenti sekolah apabila balik kampung minggu ini.
“Saya tanya kenapa nak
berhenti sekolah. Dia beritahu hatinya sudah tak seronok nak belajar dan dia
nak pergi ikut arwah kawan baiknya yang bernama Amalina.
“Amalina adalah rakan
karibnya (Nurul Mulian) semasa di sekolah rendah dan meninggal dunia bulan
lepas setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya di Kuala Kurau.
“Walaupun amat sedih
kehilangan anak tersayang, namun saya reda dengan apa yang telah berlaku,”
katanya ketika ditemui selepas pengebumian jenazah anaknya di Tanah Perkuburan
Islam Alor Pongsu di sini semalam.
Terdahulu, jenazah Nurul
Muliani disembahyangkan di Masjid Alor Pongsu di sini dan selamat disemadikan
pada pukul 11:30 pagi.
Upacara pengebumian itu
turut dihadiri oleh beberapa rakan sekolah Nurul Muliani.
Sementara itu, rakan
karib Nurul Muliani, Nurul Shahiera Najwa Mohamad, 16, memberitahu, Khamis
lalu, Nurul Muliani ada berpesan melalui seorang pelajar lain bahawa dia ada
meninggalkan sepucuk surat dalam almari di sekolah.
“Saya masih belum membaca
surat itu. Saya amat sedih atas pemergiannya. Kami menginap sebilik di asrama
dari tingkatan satu cuma pada tahun ini sahaja kami berlainan bilik,” katanya
ketika ditemui di sini semalam.
Dalam nahas kelmarin,
Nurul Muliani dan kakak angkatnya, Nor Rosalinda maut apabila motosikal mereka
melanggar belakang sebuah lori yang berhenti di persimpangan lampu isyarat di
Kilometer 118.6 Jalan Ipoh-Butterworth dalam kejadian kira-kira pukul 6.30
petang.
– UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment