Pemain import Pulau
Pinang, Casagrande (kanan) berusaha melepasi kawalan pemain import JDT II,
Liridon Krasniqi pada aksi di Larkin. -Foto FB: Johor Southern Tigers
KETUA Jurulatih Pulau
Pinang, Manzoor Azwira Abd Wahid menyifatkan kejayaan menewaskan JDT II 2-1 di
Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos Larkin kelmarin sebagai satu kemenangan
luar biasa.
Manzoor Azwira berkata,
kemenangan itu diharap dapat menyemarakkan lagi semangat kesebelasan skuad
Harimau Kumbang berkenaan untuk mengharungi baki empat perlawanan Liga Premier
kali ini dan seterusnya layak untuk beraksi dalam saingan CIMB Liga Super 2021.
“Syukur alhamdulillah, kita dapat tiga mata yang luar biasa di Larkin. JDT II memang kelab yang hebat dan kita agak sukar menamatkan perlawanan malam ini.
“Beraksi di padang yang
agak licin juga dilihat menjejaskan permainan kami khususnya pada jentera
serangan yang dilihat kurang meyakinkan.
“Bagaimanapun, kita
berjaya memanfaatkan peluang dan seterusnya menjaringkan gol pembukaan pada
awal perlawanan,” katanya pada sidang media selepas perlawanan kelmarin.
Untuk rekod, pelawat
mengejutkan tuan rumah apabila Muhammad Khairul Azrin Khazali membuka jaringan
seawal minit keempat, namun kelebihan itu dipadamkan pemain JDT II, Muhamad
Feroz Baharudin.
Pelawat sekali lagi
mengejutkan tuan rumah apabila pemain importnya, Endrick Dos Santos Prafita
menjaringkan gol kedua Pulau Pinang yang juga menjadi gol kemenangan skuad
Haria Penang Haria itu.
Sementara itu, Manzoor
Azwira berkata, biarpun bakal beraksi tanpa penonton ketika berdepan Kuala
Lumpur di Stadium Bandaraya, 19 September ini, namun dia tetap gembira dengan
sokongan yang diterimanya menerusi media sosial.
Malah katanya,
pertembungan dua pasukan teratas Liga Premier itu pasti akan menarik sokongan
daripada kedua-dua pasukan khususnya menerusi media-media sosial.
“Ketiadaan penonton
menjadikan tiada aura daripada penyokong, tetapi saya tahu penyokong memberikan
sokongan menerusi media sosial.
“Oleh itu, kita
memerlukan perancangan taktikal yang betul bagi berdepan Kuala Lumpur di
gelanggang sendiri demi menjamin tiga mata yang cukup berharga,” katanya.
-SINARHARIAN
No comments:
Post a Comment