KOTA BHARU: PAS Pulau Pinang beriltizam untuk merampas kerusi Parlimen Permatang Pauh dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang demi untuk memastikan suara Islam dapat ditegakkan di negeri itu.
Menurut pembahas mewakili
negeri itu, Nor Azman Ishak, tuntutan tersebut selari dengan Ucapan Dasar
Presiden PAS dalam Muktamar Tahunan parti itu yang membawa agenda ‘Islam
Memperkukuh Perpaduan’.
Jelas Nor Azman, dalam
usaha memastikan agenda yang dibawa menjadi sebuah realiti, konsep Islam adil
untuk semua termasuk semua kaum adalah konsep dan strategi paling ampuh yang
dimiliki PAS.
Justeru itu, kata Nor
Azman Muafakat Nasional (MN) adalah satu platform yang perlu diperkasakan oleh
semua ahli PAS yang menurut beliau kebelakangan ini sedikit hambar di
sesetengah negeri dan kawasan akibat faktor-faktor lain.
“Kita perlu faham dan
yakin, matlamat kita untuk bermuafakat adalah untuk perpaduan, kalau kita fikir
muafakat ini untuk habuan, sudah semestinya akan hilang keikhlasan dan kita
akan mula bergaduh, berebut kerusi dan sebagainya.
“Itu yang kita harapkan,
supaya semua parti komponen perlu ikhlas dan berbalik kepada niat asal kita
bermuafakat iaitu untuk penyatuan,” ujarnya ketika membahas Ucapan Dasar
Presiden PAS di Muktamar PAS kali yang ke-66 di Pusat Tarbiyah Islamiyah
Kelantan (PUTIK) di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, jelas
Nor Azman, PAS perlu mengambil iktibar kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam
PRU lalu tidak sepatutnya berulang kembali menjadi mimpi ngeri.
Justeru itu, Muafakat
Nasional adalah senjata ampuh untuk mengangkat konsep yang dibawa PAS selain
PAS perlu memperkukuhkan saf demi menghadapi PRU akan datang.
“Sudah semestinya kita
perlu mendominasi politik tanah air untuk membawa suara Islam. Jadi, mahu atau tidak,
sekurang-kurangnya kita perlu bertanding 40 kerusi Parlimen untuk kita menjadi
king maker.
“Begitu juga Pulau
Pinang, kita tidak mahu ketinggalan, kita juga mahu menghantar
sekurang-kurangnya satu kerusi Ahli Parlimen yang kita sasarkan, iaitu untuk
mengembalikan kerusi Parlimen yang pernah menang pada tahun 1978, yang diwakili
oleh Tuan Guru Zabidi Ali, iaitu kerusi Permatang Pauh,” jelasnya.
– HARAKAH DAILY
No comments:
Post a Comment