Salahuddin pasrah masalah
jantung bataskan peluang kembali bekerja. Mungkin tidak ramai dalam kalangan
peminat bola sepak dewasa ini yang mengenali susuk tubuh insan bernama
Salahuddin Che Ros ini.
Ketika era
kegemilangannya, Salahuddin, 51, pernah menganggotai skuad projek Olimpik
Barcelona 1992 atau Barcelona Babes bersama beberapa legenda pemain bola sepak
termasuk Azman Adnan, Datuk Ong Kim Swee dan ramai lagi.
Pada masa sama, pemain
pertahanan yang pernah digelar ‘orang besi’ itu juga pernah membentuk gandingan
mantap bersama Alan Davidson ketika bersama skuad Tok Gajah selepas Barcelona
Babes dibubarkan selain menjadi tonggak pertahanan ampuh ketika bersama Pulau
Pinang.
Bagaimanapun, sejak
disahkan menghidapi masalah jantung 10 tahun lalu, pergerakan bapa kepada tiga
cahaya mata itu agak terbatas dan keupayaannya untuk bekerja juga semakin
terjejas.
Meskipun menerima wang
bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Zakat Pulau Pinang
(ZPP) dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM740 untuk menyara kehidupan mereka
sekeluarga, tidak banyak yang boleh dilakukan oleh Salahuddin.
Lebih malang, bebanan
penyakit yang dihadapinya ketika ini selain Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)
yang dijangka berlarutan sehingga hujung tahun ini menyebabkan Salahuddin
semakin hilang punca pendapatan.
“Saya ada memohon bantuan
untuk mendapatkan pencen ilat daripada Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial)
kerana pernah berkhidmat sebagai kakitangan bank ketika era semi-pro (awal
90-an).
“Bagaimanapun, ia gagal
kerana alasannya caruman saya tidak cukup 91 bulan seperti yang disyaratkan
memandangkan sebelum berhenti (sebagai kakitangan bank), caruman saya hanyalah
sekitar 68 bulan.
“Justeru, saya berhasrat
untuk bertemu Menteri Belia dan Sukan (Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican)
bagi dapatkan surat sokongan sebelum membuat ra-yuan selain berbincang mengenai
masalah saya hadapi ketika ini,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
SALAHUDDIN (duduk depan, empat dari kanan) bergambar bersama skuad Olimpik Barcelona 1992 atau dikenali sebagai skuad Barcelona Babes. – hangPCdua malaya
Jelas Salahuddin yang
pernah menerima bantuan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb), namun
terhenti sejak dua tahun lalu, impiannya mendapatkan Sijil Kejurulatihan Lesen
C bagi menjana pendapatan keluarganya juga terbantut disebabkan kekangan
kesihatan dan kewangan.
“Mahu merungut pun tidak
guna kerana ini semua ketentuan Allah. Tapi, Alhamdulillah, saya bersyukur
kerana masih boleh bergerak ke sana dan ke mari tanpa menyusahkan sesiapa
walaupun berat badan semakin meningkat disebabkan penangan ubat-ubatan yang
saya ambil selama ini,” katanya.
Salahuddin berkata,
disebabkan kekangan kewangan juga, dia terlepas beberapa temu janji dengan
doktor terutamanya di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.
“Apabila kita sudah
menerima rawatan, maka perlu dibuat secara berterusan. Tapi, jika duit pun
tiada, macam mana saya mahu teruskan? Duit ubat, duit belanja pergi balik, duit
makanan suplemen dan sebagainya. Memang saya tidak mampu.
“Itulah sebabnya saya
terpaksa tidur di kaki-kaki lima ketika menunggu untuk mendapatkan rawatan
jantung di Kuala Lumpur seperti yang pernah dilaporkan media sebelum ini,”
katanya.
Salahuddin yang kini
tinggal bersama kakak keduanya, Siti Rodziah Che Ros yang juga ibu kepada ketua
jurulatih Pulau Pinang, Manzoor Azwira Abdul Wahid sejak lebih tiga tahun lalu.
No comments:
Post a Comment