ZAIRAH Omar dan suaminya,
Johan Yusop mengharapkan kediaman mereka yang usang dibaiki dan diubah suai di
Kampung Seronok, Bayan Lepas, Balik Pulau, Pulau Pinang. – UTUSAN/NOOR HASLIZA
NUSI
BALIK PULAU: Pasangan
suami isteri yang berdepan kesempitan hidup dan menetap di sebuah rumah usang
di kaki bukit Kampung Seronok, Bayan Lepas di sini mengimpikan kediaman lebih
selesa dan selamat daripada sebarang bencana serta ancaman reptilia berbisa.
Penghuninya, Zairah Omar,
59, berkata, dia yang tinggal di rumah pusaka peninggalan arwah ibu mentua
bersama suami, Johan Yusop, 67, sejak lebih 40 tahun lalu itu kini semakin
menyembah bumi dengan keadaan atap, dinding dan lantai yang berlubang.
Menurutnya, mereka tidak
berkemampuan mengubah suai kediaman berkenaan berikutan faktor kewangan dan
usia apatah lagi kini hanya mengharapkan pertolongan tiga anaknya.
“Saya tidak meminta
bantuan lain cuma mengharapkan rumah ini berubah menjadi sebuah kediaman
sebenar dan selesa untuk didiami hingga akhir hayat kami. Anak-anak ada
mengajak kami tinggal bersama tetapi kami lebih selesa tinggal di sini.
“Saya bimbang setiap kali
hujan atau angin kencang, kami terpaksa berlari keluar dan tinggal di rumah
anak-anak. Ini kerana, keadaan bumbung yang berlubang menyebabkan air hujan
tiris ke segenap lantai rumah selain terdapat pokok-pokok besar di atas bukit berhampiran.
“Bukan itu sahaja,
kediaman kami pernah dimasuki ular sawa dua tahun lalu dan tedung selar enam
bulan lalu. Mujur tiada apa-apa yang buruk berlaku kepada kami,” katanya ketika
ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Dalam pada itu, cerita Zairah
yang lebih mesra disapa Kak Ton, kehidupan mereka menjadi semakin terkesan
selepas suaminya yang juga seorang nelayan pantai diserang strok sehingga
menyebabkan separuh badan sebelah kanan tidak dapat bergerak dua bulan lalu.
“Sejak diserang strok, suami
hanya terbaring dan memakai lampin pakai buang. Namun hari ini, keadaannya
semakin pulih setelah dibawa menjalani fisioterapi di Hospital Pulau Pinang,”
ujarnya.
Zairah yang menghidap
kencing manis dan jantung itu memberitahu, kehidupan mereka kini hanya
bergantung sepenuhnya daripada bantuan bulanan nelayan berdaftar yang diperoleh
suaminya sebanyak RM250 sebulan selain dibantu anak-anak perempuannya.
Orang ramai yang
berhasrat menyumbang kepada tabung tersebut boleh menyalurkannya ke Tabung Prihatin
Baiki Rumah Asnaf melalui akaun Maybank Pertubuhan Wanita Prihatin Pulau Pinang
(557380003490).
– UTUSAN
No comments:
Post a Comment