GEORGE TOWN: Kerajaan negeri Pulau Pinang menyasarkan
untuk mewujudkan 100 hab kebun komuniti berkonsepkan pertanian bandar di
seluruh negeri dalam tempoh lima tahun akan datang.
Ketua Menteri Chow Kon
Yeow berkata inisiatif itu adalah sejajar dengan visi Pulau Pinang 2030 dalam
menjadikan negeri yang hijau, pintar dan bertumpukan kekeluargaan yang memberi
inspirasi kepada negara.
“Inisiatif ini (untuk
melaksanakan kebun komuniti bandar) bukan hanya dapat dilaksanakan oleh
kerajaan negeri tetapi juga komuniti, agensi, institusi dan organisasi lain
boleh melakukannya sekiranya terdapat ruang,” katanya selepas melancarkan
projek perintis Kebun Kitar di Perpustakaan Digital Pulau Pinang Fasa 1 (PDL1)
di sini hari ini.
Kebun Kitar ialah kebun
komuniti bandar pertama di Pulau Pinang dilancarkan oleh kerajaan negeri dengan
kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Think City.
Kebun berkeluasan 2,000
kaki persegi (185.81 meter persegi) itu dipertingkat dengan sistem Smart dibangunkan
oleh UPSI yang menggabungkan teknologi campuran, termasuk pengairan automatik,
hidroponik menegak dan panel solar untuk tenaga, penuaian air hujan dan sistem
pengurusan sisa sifar yang komprehensif.
Sementara itu, Pengarah
Urusan Think City Hamdan Abdul Majeed berkata dengan pelaburan awal sebanyak
RM50,000 kepada model Kebun Kitar, kebun bandar itu akan menyalurkan 60 peratus
hasilnya kepada masyarakat B40 melalui platform digital Kita 2 Kita (K2K) Think
City.
“Setiap tuaian mampu
diberikan kepada 400 isi rumah, manakala 40 peratus tuaian lagi akan dijual
kepada masyarakat umum bagi menampung kos operasi,” katanya.
Beliau berkata terdapat
juga peluang untuk membuat model Kebun Kitar yang sama di lokasi lain seluruh
negara pada masa hadapan.
--BERNAMA
No comments:
Post a Comment