IPOH: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memandang
serius isu aktiviti berbasikal di jalan raya yang dikhuatiri membahayakan pengayuh
dan pengguna kenderaan lain yang semakin menjadi-jadi kebelakangan ini.
Ketua Pengarah JPJ Datuk
Seri Shaharuddin Khalid berkata pihaknya akan mengkaji isu berkenaan bersama
pihak berkuasa berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia bagi mendapatkan penyelesaian
terbaik dalam menjaga keselamatan semua pengguna jalan raya termasuk mereka
yang berbasikal.
"Dalam konteks
undang-undang, basikal bukan golongan yang patut berada di atas jalan raya yang
dikenakan cukai jalan.
"Bagaimanapun, tiada
undang-undang khusus basikal di bawah Akta Pengangkutan Jalan yang boleh
dikuatkuasakan dan JPJ akan bekerjasama dengan agensi lain untuk
selaraskannya," katanya.
Beliau berkata demikian
pada sidang media Majlis Perasmian Pusat Kawalan Penguatkuasa Lebuhraya (UPLR) JPJ
di bangunan penyeliaan Plaza Tol (Lama) Jelapang di Km 268 Lebuhraya Utara
Selatan di sini hari ini.
Beliau berkata JPJ akan
mengambil langkah keselamatan dengan memberi advokasi pendidikan kepada
pengguna basikal dalam konteks menggunakan jalan raya secara berhemah
memandangkan semakin banyak aktiviti basikal di jalan raya sejak akhir-akhir
ini.
Semalam, tular gambar
sekumpulan individu yang berbasikal di laluan bertingkat (flyover) Rasah
Kemayan menuju ke Seremban Gateway, Negeri Sembilan yang menimbulkan kerisauan
orang ramai berikutan persekitaran yang tidak selamat untuk aktiviti itu.
Sementara itu, pada
majlis berkenaan, JPJ turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan
PLUS Malaysia Berhad (PLUS) bagi meningkatkan aspek keselamatan di lebuh raya
kendaliannya.
Shaharuddin berkata
pemeteraian itu membolehkan kedua-dua pihak menjalankan inisiatif dan
memperkukuh kerjasama strategik melibatkan operasi dan pelaksanaan
penguatkuasaan di lebuh raya PLUS.
Turut hadir Ketua Pegawai
Operasi PLUS Zakaria Ahmad Zabidi dan Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia
Datuk Ir Mohd Shuhaimi Hassan.
Menurutnya, UPLR yang
dirasmikan hari ini telah beroperasi mulai 1 Julai lepas sebagai pusat mengawal
selia segala aktiviti UPLR yang melibatkan empat zon penguatkuasaan utama iaitu
Stesen Penguatkuasa Lebuhraya JPJ di Hentian Rehat dan Rawat di Dengkil,
Selangor; di Gunung Semanggol, Perak; di Pagoh, Johor; dan Paka, Terengganu
masing-masing arah selatan.
Katanya, sejak diwujudkan
secara berperingkat bermula 2018, UPLR berupaya mengurangkan kesalahan jalan
raya antaranya tiada lesen memandu, cukai jalan, menggunakan lorong kecemasan,
menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan kenderaan membawa lebih muatan.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment