IPOH: Seramai 62 mangsa
banjir di daerah Kuala Kangsar yang ditempatkan di tiga buah Pusat Pemindahan
Sementara (PPS), dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing susulan banjir di
kawasan terbabit sejak Sabtu lepas, surut sepenuhnya petang ini.
Pegawai Daerah merangkap
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kuala Kangsar Ahmad Munir
Ishak berkata, tinjauan yang dilakukan Pasukan Operasi Pengurusan Bencana
Daerah di lokasi terjejas mendapati, air telah surut dan kediaman mangsa
selamat untuk diduduki semula.
“Oleh itu, PPS di Dewan
Orang Ramai Kampung Setor, Asrama Kolej Risda dan Dewan Orang Ramai Kampung
Talang Masjid, ditutup mulai pukul 5 petang ini,” katanya dalam kenyataan di
sini hari ini.
Beliau turut merakamkan
penghargaan dan terima kasih, kepada semua pihak yang membantu menyelaras dan
mengurus selia PPS tersebut dengan baik sepanjang ia beroperasi.
Sementara itu, menurut
aplikasi info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), PPS di Sekolah
Kebangsaan Parit Haji Aman yang menempatkan mangsa banjir di daerah Kerian
pula, masih dibuka sejak berlaku banjir kilat pada malam Sabtu lepas.
Setakat pukul 5.30 petang
ini, seramai 75 orang mangsa daripada 34 keluarga termasuk seorang bayi lelaki,
masih ditempatkan di PPS berkenaan.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment