Kerja-kerja menyedut madu
kelulut memerlukan peralatan khas
Bersaiz kecil dengan
warna kehitam-hitaman serta tidak mempunyai sengatan berbisa yang mendatangkan
bahaya seperti lebah madu merupakan antara perbezaan ketara lebah kelulut
dengan spesies lebah madu.
Lebah kelulut atau
kelulut sahaja (juga digelar meliponini) ialah lebah tidak bersengat namun
berupaya menghasilkan madu yang sama seperti lebah madu.
Dianggarkan hampir 500
spesies kelulut terdapat di seluruh dunia, antaranya termasuklah Geniotrigona
thoracica, Heterotrigona itama, Lepidotrigona terminata, Tetragonula laeviceps
dan Tetrigona apicalis.
Lebah kelulut dahulunya
hanya bersarang di pangkal-pangkal pokok jauh di dalam hutan. Namun selepas
khasiat madunya dikenali ramai spesies lebah kelulut ini mula dicari ramai
untuk tujuan penternakan komersial.
Madu kelulut yang
dikatakan mempunyai pelbagai khasiat serta berupaya membantu mengurangkan
penyakit asma serta selesema dan mudah diternak menjadikan lebih ramai
pengusaha madu kelulut muncul.
Menyedari potensi
penternakan madu kelulut menjana pendapatan, seorang pesara kakitangan
keselamatan Malaysia Airlines, Abdul Rahman Mad Taib, 73, memberanikan diri
menceburi bidang penternakan lebah berkenaan sejak lima tahun lalu.
Abdul Rahman Mad Taib menunjukkan sarung muka khas yang perlu dipakai jika melakukan aktiviti menuai madu kelulut.
Bermula dengan hobi,
Abdul Rahman kini mempunyai kira-kira 30 sarang lebah kelulut yang mampu
menghasilkan lebih 10 kilogram madu dalam semusim.
Katanya, lebah kelulut
yang mudah dijaga dan tidak memerlukan kos yang tinggi adalah antara sebab dia
mampu bertahan lama sebagai pengusaha dan penternak lebah kelulut.
“Pada mulanya saya beli
sarang lebah kelulut daripada seorang rakan di Bangi.
“Lama kelamaan saya
dapati hutan-hutan kecil di sekitar rumah saya juga mempunyai sarang kelulut,
jadi saya ambil keputusan untuk mencari sendiri sarang hingga mempunyai 30
sarang pada masa ini,” katanya ketika ditemui di Pondok Upeh, Balik Pulau,
Pulau Pinang baru-baru ini.
Menurut Abdul Rahman,
kesemua kotak sarang lebah kelulut miliknya juga dibina sendiri dengan kos yang
minimum bagi memastikan sarang lebah tidak terkena air hujan serta diganggu
makhluk perosak yang lain.
“Lebah kelulut juga
mempunyai musuhnya yang tersendiri seperti spesies larva black slodier fly,
kumbang sab dan juga semut yang akan merosakkan sarang lebah.
“Penternak perlu meninjau
sarang lebah seminggu sekali bagi memastikannya sarang lebah tidak diganggu
oleh makhluk perosak atau berdepan dengan kerugian akibat tiada madu
dihasilkan.
“Selain itu, madu yang
diserang larva haiwan perosak akan dijangkiti kuman, jadi masam dan tidak
selamat untuk dimakan,” katanya.
Abdul Rahman berkata,
setakat ini dia memilih menternak lebah kelulut dari spesies Heterotrigona
itama kerana spesies ini mampu menghasilkan kadar madu yang tinggi dan mudah
dijaga.
“Walaupun kita tidak
perlu memberi makanan kepada lebah kelulut ini tetapi pengusaha juga perlu
membantu mendapatkan madu dengan menanam pokok yang sesuai berhampiran kotak
sarang.
“Saya menanam pokok
limau, pokok belimbing, pokok bunga, durian, ceri dan pelbagai lagi untuk
membantu lebah kelulut mendapatkan madu.
“Cara ini dapat
meningkatkan penghasilan madu di dalam kotak sarang,” katanya.
Bapa kepada lima orang
anak ini memberitahu, walaupun tidak mempunyai sengatan berbisa seperti lebah
madu, lebah kelulut tetap akan mempertahankan sarang mereka daripada diceroboh
dengan mengerumuni penceroboh sehingga melekat pada badan perosak tersebut.
“Saya sendiri perlu
memakai pakaian serta sarung muka khas yang diperbuat daripada jaring halus
jika mahu menuai hasil madu.
“Walaupun tidak
menyengat, lebah kelulut akan melekat dan memasuki rongga badan seperti telinga
dan hidung jika sarangnya diceroboh,” katanya yang tidak mendapat sebarang
bantuan daripada mana-mana agensi kerajaan.
Sudah
ada pelanggan sendiri
Abdul Rahman Mad Taib
memberitahu, produk madu lebah kelulut yang diusahakannya itu tidak ada masalah
mendapat pelanggan.
“Madu lebah yang saya
jual adalah asli tanpa sebarang campuran gula atau air.
“Ia dijual dengan
kapasiti seberat 125 gram dan 500 gram.
“Setakat ini produk madu
kelulut asli keluaran saya boleh didapati di sekitar Pulau Pinang dan juga
Kuala Lumpur,” katanya.
Tambah beliau, produk
madu kelulut sentiasa mendapat permintaan di pasaran tempatan memandangkan
khasiatnya yang tersendiri.
“Madu kelulut mempunyai
rasa sedikit masam dan rasanya juga bergantung kepada makanan atau debunga di
sekeliling sarang lebah kelulut.
“Kandungan antioksidan
dan manfaat vitamin C yang terdapat pada madu kelulut juga baik untuk mengatasi
selesema dan demam menjadi antara penyebab madu kelulut ini sentiasa dicari
ramai,” katanya.
-UTUSANMALAYSIA
No comments:
Post a Comment